fbpx
ELYANA

Kuatkan diri, Elyana tidak mahu tunjuk sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMEJ dan gaya penyanyi ini pernah menjadi ikutan dan kegilaan segelintir remaja perempuan suatu ketika dahulu.

Gelang hitam menjadi aksesori wajib pelengkap gaya ala gothic yang begitu trending mewarnai gaya remaja sekitar awal tahun 2000-an cukup melekat dengan imejnya.

Lagu-lagu dendangan pemilik nama pentas Elyana itu banyak menjadi siulan,  antaranya, Kalis Rindu, Tak Tercapai Akalmu, Diriku Tapak Sulaiman, Ironi dan Niat.

POPULARITI Elyana tidak semeriah sewaktu zaman remajanya suatu ketika dahulu selepas dia berdepan masalah kesihatan.

Dia menjadi idola dan antara yang paling popular pada zamannya. Kini,  kehangatan yang diraih Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal sudah tidak sepopular dahulu.

Bukan kerana sudah tidak relevan sebagai penyanyi mahupun pelakon, namun dek kekangan kesihatan, penyanyi berusia 33 tahun itu terpaksa memperlahankan rentak seninya.

Kanser merebak

Semua sedia maklum, Elyana kini sedang berjuang untuk terus hidup melawan penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya sejak hampir 10 tahun lalu.

Terkini, penyanyi yang memiliki vokal vibrato tersendiri itu mendedahkan, kanser yang dihidapinya sudah berada di penghujung tahap empat dan akan memasuki tahap lima.

“Sekitar bulan lalu saya telah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari disebabkan masalah kesihatan lain.

“Tetapi doktor memaklumkan kanser yang saya alami sekarang hampir memasuki tahap lima.

“Saya sendiri menyedari kondisi badan semakin lemah dan tenaga pun tidak sama seperti dahulu,” ujarnya ringkas.

KANSER limfoma yang dihidapi Elyana kini merebak ke beberapa organ lain seperti rahim, hati dan pangkal paha.

Elyana sebenarnya enggan mendedahkan keadaan sebenar dirinya kepada umum sebelum dia akhirnya membuka mulut membicarakan bahawa kanser yang dihidapi telah merebak ke beberapa bahagian lain.

Cerita Elyana, semasa berada di hospital, ada dua perkara penting harus dikhabarkan doktor kepadanya. Satu daripadanya berita baik, manakala satu lagi, sebaliknya.

40 kilogram

“Berita baik ialah sel kanser yang lama telah berkurang. Berita buruknya pula, kanser tersebut sebenarnya telah merebak ke bahagian lain.

“Organ dalaman saya yang lain sudah diserang kanser. Sekarang, kanser itu telah merebak ke bahagian rahim, hati dan pangkal paha.

“Keadaan tersebut membimbangkan. Doktor juga mahu melakukan rawatan kemoterapi secepat mungkin,” ujarnya.

ELYANA berharap selera makannya kembali seperti biasa agar dia beroleh kekuatan untuk
meneruskan rawatan kemoterapi seperti saranan doktor.

Berdasarkan maklumat daripada doktor, jika kanser pada bahagian pangkal pahanya semakin membesar, boleh merisikokan tulang pahanya patah. Lebih teruk lagi, Elyana mungkin akan berdepan masalah lumpuh.

Tambahnya lagi, perjuangan melawan kesihatan yang stidak stabil akibat kanser yang memburuk menyebabkan Elyana hilang selera makan. Akibat selera makan yang tidak menentu, isteri kepada Khairul Anuar Husin mengalami susut berat kurus dengan berat 40 kilogram sahaja.

“Sejak Mei lalu, saya mula hilang selera makan. Masa awal-awal waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu, selera makan saya okey.

“Semasa dimasukkan ke hospital bulan lalu, doktor maklumkan berat saya terlalu ringan dan saya kena jalani beberapa rawatan seperti tambah darah ke dalam badan,” katanya.

Selepas discaj, Elyana gembira kerana selera makannya kembali pulih. Biarpun banyak nikmat hidupnya telah berkurang, namun apabila selera makannya kembali, setidak-tidaknya hal tersebut menggembirakan dirinya.

JIKA kanser pada bahagian pangkal pahanya semakin membesar, boleh merisikokan tulang paha Elyana patah selain lumpuh.

Namun, nikmat tersebut sekadar bertahan seminggu sahaja sebelum dia kembali hilang selera makan. Disebabkan masalah itulah, Elyana mengambil pendekatan untuk menunda dahulu perancangan melakukan kemoterapi.

Dalam situasi sekarang, sejujurnya akui Elyana, dia tidak kuat dan terlalu lemah untuk meneruskan rawatan.

“Saya bukan menolak sebab rawatan kemoterapi banyak membantu. Tetapi buat waktu sekarang, saya tahu keadaan badan saya tengah sangat-sangat lemah.

Kekuatan

“Saya takut tidak dapat lalui perkara tersebut. Berilah saya waktu untuk dapatkan semula kekuatan badan dan kalau ada rezeki nanti, saya akan lakukannya (kemoterapi),” tuturnya.

Menjengah aktiviti penyanyi itu dalam Instagram miliknya, tidak nampak perbezaan ketara kehidupan yang dilaluinya berbanding individu lain.

Kehidupannya sentiasa positif bersama suami dan anak-anak, Cinta Sumayyah, 9, dan Cahaya Ramadhani, setahun 10 bulan.

PENYANYI berusia 33 tahun ini tidak mahu kelihatan sakit di mata masyarakat. Dia sebaliknya mahu kekal positif dan menjadi motivasi kepada pesakit kanser lain.

Bercerita tentang perihal tersebut, sungguh katanya Elyana, dia enggan dilihat dalam keadaan sakit kerana hanya mahu memberikan aura positif kepada pesakit-pesakit kanser lain.

“Saya cuba buat diri saya nampak sihat walaupun saya sudah tidak bercampur dengan orang ramai.

“Sekarang, saya cuma luangkan masa dengan keluarga dan peminat yang rapat. Mereka sahaja orang yang tahu keadaan saya,” kata Elyana yang bertegas, tidak mahu peminatnya melihat dirinya dalam keadaan sakit.

Mengakui masih ada sisa ingatan tumpah terhadap dunia nyanyian, Elyana bagaimanapun tidaklah terlalu merindukan kemilau dunia glamor.


DALAM perkembangan terbaharu, Elyana masih menyimpan hasrat untuk mengeluarkan
single terbaharu berkolaboratif dengan seorang penyanyi lelaki.

Baginya, sudah puas dia berada di puncak populariti. Biarpun durasinya sekitar 10 tahun sahaja, namun tempoh tersebut sudah memadai baginya.

“Terima kasih semua atas sokongan dan sentiasa doakan kebaikan untuk saya,” katanya menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN