fbpx

Kenapa buru roma aktor meremang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Shahidan Izwan berdepan detik cemas apabila kelibat entiti misteri muncul dalam sekeping foto (kanan) ketika menjalani penggambaran telefilem Tersimpang Ke Alam Bunian.

PETALING JAYA – Pendatang baharu dunia lakonan, Shahidan Izwan, tidak menduga berdepan situasi menyeramkan di set penggambaran ketika menjayakan telefilem arahan Osman Ali bertajuk Tersimpang Ke Alam Bunian.

Menurut Shahidan, 23, insiden tersebut membuatkan bulu romanya meremang sewaktu melakonkan satu babak seram di sebuah tanah perkuburan yang terletak di Gopeng, Perak.

“Babak itu membabitkan watak Lan lakonan saya dan watak roh Emma yang menyarung kostum putih, digalas oleh Hana Ameera.

“Pada masa sama, ada kru yang ditugaskan mengambil gambar kami. Setelah meneliti foto yang diambil, ternampak sesuatu yang pelik apabila turut kelihatan seolah-olah ada entiti atau bayangan kepada watak Emma,” cerita Shahidan berkongsi momen menyeramkan tersebut.

Tambah pemilik nama sebenar, Ahmad Shahidan Mohd. Ali itu, foto tersebut sekali gus menyebabkan semua kru Nuansa Film terdiam dan set penggambaran menjadi sunyi sepi buat seketika.

Membawakan watak bernama Lan, Shahidan atau lebih dikenali sebagai Iwang Ali itu juga mengakui berasa amat bangga apabila dipilih menjadi antara teraju utama drama berkenaan yang disiarkan menerusi saluran Astro Citra baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila diberi peluang mendukung peranan penting, apatah lagi digandingkan dengan dua pelakon berkaliber iaitu Farid Kamil dan Amerul Affendi.

“Ibaratnya, berganda-ganda pengalaman manis saya alami sepanjang berlakon dalam drama ini,” ujar penyandang gelaran Mister Talented yang dimenangi dalam pertandingan pencarian bakat Mister Planet Nation Malaysia 2019 (MPM 2019) pada tahun lalu.

Sebelum ini, wajah tampan Shahidan pernah mengejutkan ramai apabila didedahkan sebagai pelakon di sebalik watak hantu dalam filem Munafik dan Munafik 2.

Anak kelahiran Tronoh, Perak itu juga pernah muncul membawakan watak antagonis dalam drama bersiri Gerak Khas episod Neraka Dunia terbitan Skop Production. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI