fbpx

Sindiket judi online digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seramai 19 individu warga asing ditahan dalam tiga serbuan yang dilakukan pihak Polis Daerah Wangsa Maju di Jalan Danau Saujana, Setapak dan Jalan Tun Razak di sini pada 4 hingga 7 DIsember lalu dalam usaha memerangi kegiatan perjudian online.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, serbuan dibuat ke atas tiga unit kondominium oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju susulan maklumat risikan yang dilakukan.

“Dalam serbuan tersebut seramai 18 lelaki dan seorang wanita warganegara China berusia 21 hingga 39 tahun yang berperanan sebagai operator promosi judi online bagi pasaran negara China telah ditahan selain merampas pelbagai barangan yang digunakan mereka.

“Antara yang dirampas adalah komputer riba(15), modem(3), telefon bimbit (49) termasuk router dan tetikus yang dianggarkan bernilai RM65,000,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Rajab Ahad, modus operandi sindiket tersebut adalah mempromosikan aktiviti perjudian online kepada pelanggan di China menggunakan aplikasi WeChat, WhatsApp dan QQChat termasuk menghantar ratusan pesanan ringkas kepada mereka.

“Kita dapati sindiket ini membayar sewa unit kondominium dengan kadar RM1,500 hingga RM5,000 sebulan dan telah beroperasi hampir tiga bulan lalu mengikut syif bermula 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

“Kesemua tangkapan kini direman selama 14 hari sehingga 21 Disember depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” tegas beliau.

Tambah beliau, pihak Polis Wangsa Maju ingin menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan perjudian haram kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap penganjur serta pelanggan yang bermain atau berada di dalam premis yang menjalankan kegiatan tersebut.

“Memandangkan sindiket ini memilih kondominium mewah sebagai tempat beroperasi, orang ramai diminta memberikan kerjasama untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang kegiatan yang mencurigakan di kawasan tempat tinggal masing-masing.

Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 jam IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI