fbpx

Dua anggota Rela salah guna senjata api digantung tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien menunjukkan senapang patah dan peluru milik anggota Rela yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kelantan mengesahkan seorang lagi suspek yang ditahan polis selepas dipercayai meminjam senapang patah rakannya di Kampung Jeli Dalam, Pekan Lama di Jeli pada Ahad lalu juga merupakan anggota jabatan itu.

Pengarah Rela Kelantan, Mior Muhammad Taufik Mior Burhanuddin berkata, susulan daripada tangkapan tersebut, kedua-dua lelaki berusia 41 dan 45 tahun itu telah digantung keahlian daripada jabatan itu bermula daripada tarikh mereka ditangkap.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas mereka melanggar Akta Senjata Api 1960 dan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) kerana terlibat dengan kes jenayah.

“Kedua-dua lelaki itu merupakan anggota di bawah seliaan jabatan dan pentadbiran pejabat Rela Jeli.

“Selain digantung, kita tidak menolak kemungkinan akan menamatkan keahlian mereka dalam Rela,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang anggota Rela yang dipercayai meminjamkan senapang patah kepada rakannya ditahan dalam serbuan berasingan di dua buah rumah di Jeli Ahad lalu.

Suspek pertama yang turut dikenal pasti sebagai anggota Rela meminjam senapang patah itu sejak lapan bulan lalu untuk memburu haiwan daripada anggota jabatan itu.

Berdasarkan semakan, anggota Rela itu mempunyai surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata.

Mengulas lanjut, menurut Mior Muhammad Taufik, setiap anggota Rela telah diberikan latihan dan pemahaman khusus mengenai tanggungjawab sebagai pemegang senjata api jabatan itu.

Katanya, bagaimanapun, beliau akan menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu sebelum mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka.

“Saya berharap tindakan yang dikenakan kepada dua anggota itu dapat memberi pengajaran kepada anggota lain supaya berhati-hati apabila memegang senjata api.

“Semua pemegang senjata api Rela diingatkan supaya tidak mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI