fbpx

Rakyat Britain mula terima suntikan vaksin Covid-19 esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG jururawat melakukan simulasi suntikan vaksin koronavirus Pfizer-BioNTech semasa sesi latihan petugas perubatan di sebuah hospital di London pada 4 Disember lalu. - AFP

LONDON – Britain bersiap sedia hari ini untuk memulakan kempen vaksinasi terbesar negara itu tetapi pegawai-pegawai kesihatan memberi amaran bahawa usaha memberi pelalian Covid-19 kepada berjuta-juta rakyatnya dijangka mengambil masa sehingga tahun depan.

Pengagihan pertama di dunia vaksin Pfizer-BioNtech itu dijadualkan bermula esok dalam kempen vaksinasi digelar ‘V-Day’ oleh Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock.

Hospital Universiti Croydon di selatan London merupakan antara 50 hab klinikal yang mula menerima hantaran awal sebanyak 800,000 dos vaksin Covid-19 itu pada hujung minggu lalu dari sebuah kilang Pfizer di Belgium.

Di hospital Croydon berkenaan, seorang juruteknik makmal mengangkat bungkusan berisi dos vaksin Covid-19 keluar daripada kotak ais kering yang menyimpan vaksin tersebut pada suhu -70 darjah Celsius dan memindahkannya ke dalam sebuah peti sejuk beku khas.

” Mengetahui bahawa vaksin Covid-19 berada di sini dan kami adalah antara yang pertama di Britain menerima vaksin ini sekali gus pertama di dunia adalah sungguh menakjubkan. Saya amat bangga,” kata ketua ahli farmasi hospital Croydon, Louise Coughlan.

Golongan pertama yang akan menerima suntikan vaksin itu adalah penduduk berusia 80 tahun dan ke atas, pekerja rumah penjagaan dan petugas barisan hadapan di hospital-hospital kerajaan. Semua mereka dianggap berisiko tinggi dijangkiti koronavirus.

Suntikan vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diberikan dalam dua dos dengan selang masa tiga minggu. Kumpulan pertama vaksin itu dapat memberi pelalian kepada 400,000 orang manakala kerajaan Britain menempah 40 juta dos vaksin syarikat tersebut secara keseluruhan.

London bagaimanapun masih membuat penilaian terhadap vaksin syarikat lain termasuk vaksin buatan Universiti Oxford dan AstraZeneca. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI