fbpx

Kurang popular, Shaza Bae tidak mengalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAZA BAE

BERSUA muka dengan bekas Dewi Remaja 2019 itu, tidak dinafikan wanita muda selayak memegang gelaran tersebut.

Si dewi yang hanya mahu dikenali sebagai Shaza Bae bukan sahaja petah berbicara, malah setiap lontaran idea dan pendapatnya juga bernas serta tidak kedengaran seperti fiksyen.

Tidak keterlaluan sekiranya penulis awal-awal lagi mengklasifikasikan wanita berusia 25 tahun itu berada dalam kategori selebriti berpotensi besar untuk menyerlah dalam industri seni tanah air.

Sedar masih terlalu awal untuk bercakap soal masa depan, Shaza mengakui populariti dan pengaruh menjadi cabaran besar untuk pendatang baharu seperti dirinya.

Perempuan Tanpa Dosa

Dia bagaimanapun bersyukur kerana semakin dikenali sejak muncul dalam drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa (PTD). Drama arahan Michael Ang tersebut dianggap sebagai platform ‘emas’ atau batu loncatan untuk mempersembahkan dirinya ke mata umum.

“Sebenarnya, misi saya bukan terlalu ingin menjadi popular dalam sekelip mata tetapi hanya mahu buktikan bakat kepada khalayak yang belum mengenali siapa Shaza Bae,” katanya ringkas memulakan perbualan.

Ujar pemilik nama penuh Shaza Nuriman Mohamad Zamri itu, berlakon dalam PTD bersama barisan pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Kamal Adli dan Uyaina Arshad merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat dirinya.

“Sebagai pendatang baharu, saya banyak belajar teknik lakonan dengan mereka seperti cara untuk menangis, reaksi muka dan cara melontarkan dialog. Bukan mudah tetapi merekalah penyelamat saya.

“Selain barisan pelakon, Michael juga banyak menegur dan mengajar bagaimana menjadi pelakon yang bagus. Dia memang tegas tetapi ilmu yang diberi sangat bernilai.

“Bukan mudah nak dapat peluang bekerja dengannya. Jadi saya anggap ini semua rezeki besar yang Tuhan berikan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

PELUANG berlakon dalam drama Perempuan Tanpa Dosa dianggap Shaza sebagai batu loncatan untuk namanya dikenali.

Meskipun hanya memegang watak tambahan sebagai Yaya, dia tidak menyangka impak karakternya itu sangat besar sehingga terbawa-bawa ke luar set.

“Sejak drama tersebut tular, ramai yang mula memanggil saya Yaya. Mereka lebih mengenali saya dengan watak tersebut berbanding nama sebenar.

“Syukur! Sebab perkara tersebut membuktikan saya berjaya membawa watak Yaya dengan baik. Kalau tidak, mana mungkin orang akan ingat Yaya sebab dia hanya pelakon tambahan (ketawa),” selorohnya.

Akan datang, Shaza mendedahkan dia bakal muncul dengan watak yang lebih berat untuk sebuah lagi drama arahan Michael Ang.

“Alhamdulillah Michael percaya dengan bakat saya dan berpeluang sekali lagi untuk bekerja dengannya.

“Teruja dan tidak sabar untuk beraksi di depan kamera lagi. Kali ini watak antagonis dan harap dapat lari daripada karakter Yaya,” ujarnya.

Populariti

Sepanjang berbual bersama gadis tinggi lampai itu, terdetik juga persoalan tentang popularitinya yang dilihat kurang menyerlah biarpun pernah menyandang gelaran juara pada Disember 2019.

Bercakap tentang perkara tersebut, Shaza tidak menafikan sejarah hitam yang menimpa beberapa peserta musim terdahulu memberi impak besar kepadanya selepas tamat pertandingan tersebut.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, dia bagaimanapun tekad untuk menggandakan usahanya membina jenama mengikut acuan sendiri.

“Ya, memang kisah lama memberi impak yang sangat besar kepada finalis seangkatan dengan saya dan perjalanan untuk membina nama menjadi sukar.

“Jika orang kata selepas menang Dewi Remaja akan terus popular, sangkaan itu salah. Sebab selepas tamat pertandingan tersebut, saya perlu kerja keras 10 kali ganda lagi untuk naikkan nama sendiri,” katanya.

SHAZA tidak menafikan sejarah hitam yang menimpa beberapa peserta Dewi Remaja musim terdahulu memberi impak besar kepadanya kerana perjalanan untuk membina nama menjadi sukar.

Biarpun perjalanan awal kariernya sedikit perlahan, Shaza tetap bersyukur kerana masih diberikan tawaran bekerja lebih-lebih lagi ketika industri hiburan sedikit terjejas disebabkan Covid-19.

Ditawarkan tugas sebagai hos Hlive siaran Astro Ria dan berlakon dalam drama PTD antara rezeki terbesar yang diterimanya tahun ini.

Ujar Shaza, populariti tidak setanding orang lain bukan alasan untuk mengalah atau berundur, sebaliknya dia harus bertahan demi meraih rezeki menampung kehidupan seharian.

“Kalau saya bersedih kerana tidak terkenal dan tiada tawaran berlakon, bagaimana saya ingin beri duit kepada ibu dan bayar keperluan seharian.

“Setiap hari saya akan bercakap pada diri sendiri, ‘aku kena rajin, kuatkan semangat dan ikhlas untuk semua kerja’.

“Itu cara saya memotivasikan diri dan bekerja lebih keras,” luahnya.

Metode

Melayani impiannya sebagai pelakon, anak jati Kuala Lumpur itu sempat meluahkan hasrat untuk berlakon dengan dua nama besar tanah air, Bront Palarae dan Nur Fazura.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Universiti Malaya itu mengklasifikasikan kedua-dua pelakon itu sebagai aktor dan aktres yang hebat.

Biarpun perjalanan awal kariernya sedikit perlahan, Shaza tetap bersyukur kerana masih diberikan tawaran bekerja lebih-lebih lagi ketika industri hiburan sedikit terjejas
disebabkan Covid-19.

“Mereka pelakon metode, mampu melahirkan emosi dan rasa dengan bersahaja. Saya kagum melihat bakat besar mereka.

“Itu impian saya sebagai pelakon walaupun saya sedar masih jauh lagi perjalanan untuk mencapai impian itu,” katanya dengan nada rendah diri.

Sekiranya dibukakan peluang, Shaza turut menyimpan hasrat untuk memegang watak penghidap autism dalam mana-mana drama atau filem.

Menurutnya, karakter tersebut sangat sukar untuk dibawa tetapi itulah cabaran yang ingin dirasainya sebagai pelakon.

“Bukan semua pelakon mampu melakonkan watak berat sebegitu. Jika diberi peluang satu hari nanti, saya mahu pegang karakter tersebut dan buktikan pada dunia saya juga mampu melakukannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI