fbpx

Pengamal perubatan Islam ditahan cabul wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

HULU TERENGGANU – Seorang pengamal perubatan Islam ditahan polis semalam bagi membantu siasatan mencabul seorang jurujual wanita yang juga pesakitnya pada akhir November lalu.

Lelaki berusia 52 tahun yang menggelarkan dirinya sebagai ustaz diberkas polis di rumahnya di Kuala Berang di sini pada pukul 4 petang setelah mangsa membuat laporan berhubung dakwaan itu di Balai Polis Kuala Berang di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa berusia 30 tahun telah mendapatkan rawatan daripada suspek di pusat perawatan Islam di daerah ini pada pukul 8.30 malam, 22 November lalu.

“Wanita itu dimaklumkan kononnya dia terkena buatan orang sebelum suspek meminta izin untuk memegang fizikal mangsa.

“Mangsa mengizinkan untuk tujuan perubatan namun lelaki itu didakwa telah turut menyentuh kedua-dua anggota sulit wanita itu selain mencekik lehernya sewaktu perawatan dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, suspek memberitahu akan berkunjung ke rumah mangsa bagi melihat keadaan premis itu kononnya sebahagian daripada rawatan lanjut bagi mengubati wanita tersebut.

Ujar beliau, mangsa telah menjemput suspek ke rumahnya di Tepoh, Kuala Nerus pada pukul 2.30 petang, 24 November lalu.

“Sejurus sesi rawatan di rumah tersebut selesai, lelaki berkenaan meminta izin untuk mencium mangsa tetapi tidak dibenarkan.

“Pelik dengan cara perawatan suspek, mangsa telah pergi ke cawangan pusat perawatan Islam itu di Kuala Ibai, Kuala Terengganu untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.

Mohd. Adli berkata, bukan sahaja cara perawatan suspek menyalahi etika malah dia juga dimaklumkan lelaki itu sebenarnya telah digantung tugas sebelum ini.

Beliau berkata, mangsa telah dinasihatkan oleh pengurusan pusat perawatan Islam terbabit untuk membuat laporan polis yang telah membawa kepada penangkapan suspek.

“Lelaki itu telah ditahan reman semalam empat hari sehingga 9 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI