fbpx

Kemudahan telekomunikasi di perkampungan orang asli dipertingkat MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CYBERJAYA – Kemudahan telekomunikasi di perkampungan orang asli di negara ini sentiasa dipertingkat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan masyarakat orang asli khususnya generasi muda tidak ketinggalan dalam era digital.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, sehingga Oktober lalu, sejumlah 61 menara telekomunikasi telah dibangunkan dan memanfaatkan lebih ramai masyarakat orang asli di seluruh negara.

“Terkini, lapan menara sedang dilaksana dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku pertama 2021.

“Jumlah ini termasuk menara di Pos Lemoi dan Pos Kg. Telimau di Cameron
Highlands, Pahang,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, sejumlah 11 menara telekomunikasi di sepanjang laluan Jalan Sungai Koyan sehingga Lembah Bertam, Cameron Highlands telah dinaik taraf daripada menggunakan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) kepada rangkaian gentian optik untuk liputan 4G.

“Sembilan daripadanya termasuk di dalam kawasan Pos Menson telah siap dibina pada Oktober tahun lalu dan telah selesai dinaik taraf kepada liputan 4G pada 5 November lalu

“Ketua masyarakat telah ditemui oleh MCMC  pada 4 Disember lalu di Pos Menson untuk mendapat maklum balas kualiti pengalaman selepas penambahbaikan serta mendapat maklum balas keperluan bagi kampung berdekatan,” katanya.

MCMC memberitahu, penambahbaikan liputan dan kualiti perkhidmatan kepada 4G bagi kawasan Cameron Highlands akan giat ditingkatkan seperti yang dirancangkan dalam pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

“Usaha menaik taraf rangkaian telekomunikasi kepada perkhidmatan 4G akan membantu masyarakat orang asli di Pos Menson serta kampung
sekeliling menikmati capaian internet yang lebih baik.

“Ia dapat menyokong keperluan norma baharu yang mana liputan dan rangkaian 2G dan 3G terutamanya di kawasan luar bandar sememangnya tidak mampu menampung keperluan permintaan perkhidmatan komunikasi yang semakin meningkat,” katanya.

Menurut MCMC, dengan terbinanya menara-menara telekomunikasi itu, masyarakat orang asli tidak lagi terpinggir dari dunia luar.

” Mereka boleh mendapat maklumat terkini, memperoleh ilmu pengetahuan, menjalankan urusan dengan kerajaan dan menjalankan perniagaan dalam talian sama seperti mereka yang tinggal di bandar.

“Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin  Abdullah memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah 85 menara baharu dengan perkhidmatan 4G akan dibina di 136 perkampungan orang asli di seluruh negara bermula pada suku kedua 2021 melalui pelan Jendela fasa 1,” jelasnya.

MCMC berkata, sebagai badan yang bertanggungjawab, MCMC akan memastikan segala perancangan yang telah diatur dalam pelan Jendela akan berjaya merapatkan jurang digital yang wujud antara masyarakat bandar, pinggir bandar dan luar bandar di negara ini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI