fbpx

Mayat lelaki ditemui terapung dalam parit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat buruh kilang papan yang dipercayai lemas ditemui di dalam parit di Kampung Gong Kala, Pasir Puteh hari ini. - Foto IHSAN BOMBA

PASIR PUTEH – Mayat seorang buruh kilang papan ditemui terapung di dalam parit dipercayai lemas dalam kejadian banjir di Kampung Gong Kala di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Mohd. Fahmie Abdullah @ Mahmud, 33, ditemui oleh penduduk kampung berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek pada pukul 1 petang.

Menurutnya, mangsa ditemui bersama sebuah motosikal jenis Honda Wave 100 ditunggangnya yang turut tenggelam di dalam parit itu.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu pada pukul 1.12 petang.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, mangsa ditemui terapung dalam keadaan tertiarap bersama sebuah motosikal di dalam parit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Azmir berkata, pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai lemas ketika sedang melintas kawasan banjir untuk pulang ke rumahnya malam tadi.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis di sini untuk proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI