fbpx

Polis gelap mata diupah hingga RM1,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan.

JOHOR BAHRU – Diupah sehingga RM1,500 setiap kali menyeludup masuk dadah ke dalam lokap.

Itu pakej ditawarkan sindiket dadah yang didalangi seorang wanita berusia 23 tahun yang juga anak kepada seorang lelaki orang kenamaan dikenali Datuk Ajim.

Tawaran itu menjadi punca sembilan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi gelap mata sehingga sanggup bersekongkol dengan sindiket terbabit untuk mengedar dadah sejak awal November lalu.

Malah, mereka berani menjadikan salah satu sel lokap di IPD Kota Tinggi sebagai port menghisap dadah.

Bagaimanapun, kegiatan me­reka terbongkar selepas ditangkap sepasukan polis dalam satu operasi pada Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka yang ditangkap itu terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 36 tahun berpangkat ko­peral hingga konstabel yang bertugas sebagai pengawal lokap IPD Kota Tinggi.

Dadah yang dirampas berikutan penahanan sembilan anggota polis terbabit.

Menurutnya, polis turut menahan seorang wanita yang juga anak kepada salah seorang tahanan di dalam lokap tersebut yang dikenali sebagai Datuk Ajim.

“Anggota (polis) yang ditahan itu dipercayai bersekongkol de­ngan wanita terbabit untuk membawa masuk bekalan dadah.

“Anak perempuan Datuk Ajim akan memberi dadah tersebut kepada pengawal lokap sebelum diserahkan kepada bapanya,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.

Ayob Khan memberitahu, anggota polis terbabit diberi upah oleh Datuk Ajim mengikut pakej tertentu.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek pertama anggota polis yang ditangkap, lelaki terbabit mendakwa dibayar sebanyak RM1,500 dan seorang rakannya pula diberi RM500.

Ujarnya, anggota polis wanita pula menerima bayaran RM50 bagi setiap kali penghantaran.

Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

“Ada sebuah sel di dalam lokap IPD Kota Tinggi ini yang dijadikan port menghisap dadah. Ini adalah tangkapan pertama kes penyeludupan dadah ke dalam lokap,” katanya.

Ayob Khan berkata, kegiatan yang dipercayai dilakukan sejak awal bulan lalu terbongkar selepas lima daripada 16 tahanan dari penjara Ulu Choh yang ditahan di lokap balai tersebut positif dadah jenis methamphetamine dalam ujian saringan air kencing pada 22 November lalu.

Katanya, susulan pemeriksaan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dibantu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Johor telah membuat pemeriksaan di lokap IPD Kota Tinggi pada 29 November lalu.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas 38.65 gram (g) syabu, 42.25g heroin termasuk sejumlah tembakau yang dianggarkan bernilai hampir RM6,000,” ujarnya

Beliau memberitahu, polis kemudian membuat ujian sari­ngan awal terhadap 129 banduan di lokap IPD Kota Tinggi dan 22 da­ripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, morfin dan dadah jenis THC.

Ayob Khan berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua sembilan anggota polis termasuk wanita itu mendapati, dua anggota polis lelaki dan anak perempuan Datuk Ajim itu positif dadah jenis methamphe­tamine.

Ujarnya, salah seorang anggota polis yang positif dadah mempunyai satu rekod kesa­lahan lampau pada 2017 yang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI