fbpx
Kamari Zaman (dua dari kiri) pada majlis pemeteraian MoU antara CBP dengan Media Prima Omnia di Kuala Lumpur semalam.

Pakej pengiklanan mampu milik untuk PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) dan Media Prima Omnia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semalam bagi menawarkan pakej pengiklanan menarik buat pe­langgan bank.

Menerusi kerjasama yang berlangsung selama setahun, bermula 1 November 2020 itu, setiap pelanggan sektor koperasi dan korporat CBP akan ditawarkan pakej pengiklanan istimewa di seluruh saluran rangkaian Media Prima pada harga serendah RM1,000.

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, MoU ber­kenaan bertujuan meningkatkan akses CBP kepada pe­langgan baharu, terutamanya dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain membuka peluang kepada mereka untuk mengiklankan produk secara berkesan.

“Kami yakin kerjasama ini dapat membantu CBP menembusi pasaran yang lebih luas, seterusnya meningkatkan pengeluaran pembiayaan di sektor korporat dan koperasi selain membantu strategi pemasaran pelanggan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU berkenaan di ibu pejabat CBP di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan.

Menurut Chan, ini merupakan kali pertama pihaknya menjalin kerjasama seumpamanya de­ngan sebuah institusi kewangan dan pakej pengiklanan yang ditawarkan kepada pelanggan CBP adalah lebih rendah berbanding harga biasa.

“Kami yakin kerjasama ini dapat membantu perusahaan, terutamanya PKS memajukan perniagaan mereka dan pada masa sama, membantu mengembangkan asas pelanggan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Kamari berkata, saiz pembiayaan CBP kini adalah berjumlah RM3.8 bilion, manakala jumlah deposit seba­nyak RM4.4 bilion.

“Untuk tahun ini, kami telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM79 juta untuk sektor korporat dan RM75 juta lagi buat sektor koperasi,” katanya.

BERITA BERKAITAN