fbpx

Polis ingatkan penduduk tidak cuba tinggalkan kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Penduduk yang berada di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti baharu di sini diingatkan agar tidak keluar meninggalkan kediaman kerana pihak berkuasa mempunyai senarai setiap penghuni di kawasan berkenaan.

Bermula hari ini, dua lokaliti baharu dikenakan PKPD selama 14 hari iaitu di Taman Pinji Mewah Zon B melibatkan seramai 1,628 penduduk manakala di Klebang Jaya Zon A pula kira-kira 1,061 orang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, penduduk perlu mematuhi arahan serta memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang tempoh penguatkuasaan tersebut.

Menurut beliau, penduduk juga diingatkan supaya terus kekal di tempat tinggal masing-masing ketika tempoh PKPD dilaksanakan bagi membolehkan pengesanan status kesihatan dan saringan dilakukan pihak berkuasa.

“Jika ada antara mereka yang cuba keluar, polis akan kesan kerana kita mempunyai maklumat lengkap setiap penghuni dan kediaman.

“Oleh itu penduduk diminta supaya bertenang dan ikuti arahan-arahan yang dikeluarkan supaya tidak ada penularan keluar kes Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi kawalan dan pemantauan pasukan keselamatan di Taman Pinji Mewah di sini hari ini.

Seramai 180 anggota pelbagai agensi ditugaskan secara bergilir-gilir membabitkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam di kedua-dua lokaliti terbabit.

Selain itu, ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga turut membantu pihak berkuasa dalam melakukan pemantauan.

Dalam pada itu kata Asmadi, pengumuman saat akhir PKPD tidak memberi masalah kepada pasukan keselamatan untuk membuat persiapan kerana ia turut melibatkan bantuan daripada pelbagai pihak termasuklah Majlis Bandaraya Ipoh.

Katanya, ini kerana PKPD hanya dikuatkuasakan di lokasi yang dikenal pasti iaitu tempat penginapan pekerja warga asing dan bukan di keseluruhan kedua-dua kawasan perumahan terbabit.

“Selain Taman Pinji Mewah dan Taman Klebang Jaya, kita juga masih menguatkuasakan PKPD di Taman Meru 2C melibatkan kira-kira 2,168 penduduk di sekitar Zon B dan Zon C.

“Jadi, pemantauan dan penugasan anggota polis termasuk tentera yang mengawasi lorong-lorong tikus di dua lokaliti baharu ini juga akan diperkemas dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI