fbpx

Kes HIV di Malaysia turun 50 peratus tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham menyampaikan ucapan perasmian sempena sambutan Hari Kesedaran AIDS Sedunia 2020 secara virtual di Facebook KKM hari ini.

PUTRAJAYA – Bilangan kes HIV di negara ini menyaksikan penurunan kes sebanyak 50 peratus pada akhir tahun 2019 berbanding kes tertinggi sebanyak 6,978 pada 2002.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Malaysia juga telah dapat mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV dari ibu ke anak pada kadar di bawah dua peratus dan memastikan ia tidak menjadi ancaman kesihatan awam.

Beliau berkata, peratusan jangkitan HIV baharu dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah juga menurun iaitu daripada 5,176 kes pada 2002 kepada 164 tahun lepas.

“Selain itu pemberian ubat antiretroviral (ARV) kepada mereka  yang hidup  dengan HIV (PLHIV) juga telah dipertingkatkan iaitu daripada 28 peratus pada 2015 kepada 57 peratus tahun lepas.

‘’Bagaimanapun, peningkatan ini masih rendah jika dibandingkan dengan sasaran 90 peratus dalam usaha kita mengakhiri AIDS,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian merasmikan sambutan Hari Kesedaran AIDS Sedunia 2020 peringkat kebangsaan secara virtual di laman Facebook Kementerian Kesihatan hari ini.

Adham berkata, sambutan Hari Kesedaran AIDS itu yang disambut 1 Disember setiap tahun perlu menjadi platform untuk semua pihak memperbaharui komitmen dan tekad bagi mempergiatkan usaha bersama dalam menangani jangkitan HIV/AIDS.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak menggembleng tenaga dan memperkukuh kerjasama pintar bersama kerajaan, sebagai usaha memastikan matlamat sasaran sifar HIV/AIDS menjelang 2030 dapat direalisasikan.

Menurutnya, menerusi kerjasama itu, aktiviti pencegahan, kawalan, rawatan serta jagaan pesakit HIV/AIDS akan dapat diperkasakan sekali gus mampu menangani kes penyakit terbabit.

“Individu yang hidup dengan HIV (PLHIV) juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian bagi mencegah  diri daripada mendapat jangkitan Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI