fbpx

Hospital USM kurangkan bilangan pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hospital USM

KOTA BHARU – Bilangan pesakit termasuk di dewan bedah dan bilik bersalin Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Pengarah Kampus Kesihatan dan Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, langkah itu dilakukan oleh pengurusan hospital selepas merujuk kepada pengumuman kluster Hilir iaitu kluster baharu Covid-19 kelmarin yang turut melibatkan kes positif di Hospital USM.

Katanya, bagaimanapun, tiada sebarang perkhidmatan di Hospital USM ditutup selain ia bertujuan untuk memberi masa kepada warga kerja, pesakit dan semua yang berisiko disaring.

“Pengurangan bilangan pesakit pada bulan November adalah rutin setiap tahun kerana Peperiksaan Sarjana Perubatan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan berdasarkan jadual akademik.

“Pengurangan pesakit juga diputuskan setelah mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 termasuk kluster-kluster sekitar negeri Kelantan yang menunjukkan peningkatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Sukari, hasil tindakan pengawalan yang efektif sehingga semalam, tiada lagi kes-kes positif Covid-19 yang baharu dikesan di Hospital USM dan kini beroperasi seperti biasa mulai kelmarin.

Katanya, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kerja, pesakit Hospital USM serta waris adalah menjadi keutamaan.

“Sehubungan dengan itu, pengurusan telah melaksanakan tindakan-tindakan segera bagi mengawal jangkitan dan dalam masa yang sama berusaha untuk memastikan perkhidmatan rawatan tidak terjejas.

“Hospital USM proaktif dalam menjalankan kerja-kerja sanitasi sekitar premis secara kerap selain menggiatkan kempen amalan norma baharu kepada warga kerja dan pelanggan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI