fbpx

ePiala Malaysia buka tirai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZ HARIRY atau lebih dikenali sebagai Favlain selain juara bertahan eMFL itu mengakui cabaran saingan ePiala Malaysia kali ini amat mencabar sekali.

SAINGAN ePiala Malaysia 2020 tahun yang akan bermula secara rasmi hari ini dijangka berlangsung sengit dengan menyaksikan 16 pemain permainan video e-Sukan FIFA21 terbaik negara berentap sesama sendiri.

Sebagai rekod, saingan ePiala Malaysia musim ini bakal menjadi saingan atas talian kedua yang dianjurkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas kejohanan e-Sukan eMFL yang diadakan dengan meriah pada Julai lalu.

Namun, edisi kali ini dilihat lebih menarik dengan format baharu iaitu lapan pemain berstatus amatur akan menentang lapan pemain profesional lain yang telah menempa nama pada kejohanan eMFL sebelum ini.

Juara eMFL tahun ini, Faiz Hariry Mohd. Fodzai yang lebih terkenal dengan gelaran Favlain mengakui, cabaran kali ini ­sangat sukar terutama melibatkan
tujuh pemain profesional yang turut diletakkan selaku pilihan kali ini.

“Harapan untuk kejohanan kali ini sangat tinggi meman­dangkan status saya sebagai juara eMFL yang lepas. Cuma, saya tidak mahu meletakkan ia
sebagai tekanan tetapi lebih kepada menambah keyakinan agar tenang beraksi seperti biasa.

“Cuma, tidak wajar untuk tumpuan diberikan kepada saya sahaja kerana ramai pemain yang berkualiti turut menyertai kejohanan ePiala Malaysia kali ini dan saya perlu berwaspada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Favlain mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat mewakili negeri kelahirannya, Kedah tetapi sebalik­nya dikekalkan pilihan negeri seperti kejohanan eMFL lepas iaitu Terengganu FC.

“Format kali sedikit mengecewakan kerana masih mengekalkan carta yang sama seperti Piala Malaysia dan kami perlu kekal dengan pasukan yang sama macam di eMFL. Kalau boleh saya ingin membawa nama negeri kelahiran saya sendiri (Kedah),” katanya yang berusia 22 tahun.

SERAMAI 16 pemain permainan video e-Sukan FIFA21 akan berentap pada ePiala Malaysia 2020 yang bermula pada hari ini.

Sementara itu, pemain yang berjaya meloloskan diri daripada pusingan kelayakan minggu lepas, Putera Sufrie Nizam Subadron enggan mensia-siakan peluang beraksi pada pusingan akhir ePiala Malaysia kali ini.

Putera sebelum ini pernah beraksi di pentas ePiala Malaysia edisi pertama tahun lepas, tetapi sekadar bertahan di pu­singan suku akhir dan tidak layak
untuk bersaing pada liga eMFL musim ini.

“Saya agak sedih selepas gagal rebut slot untuk beraksi pada eMFL tetapi selepas layak dapat tempat untuk berentap pada ePiala Malaysia, terubat kecewa kerana bukan mudah untuk jadi lapan terbaik daripada 256 peserta di pusingan kelayakan.

“Sekarang saya lebih bersemangat untuk beraksi dengan pesaing-pesaing lain dalam edisi kali ini dan saya akan berusaha keras untuk cuba rebut gelaran juara pada musim ini.

“Malah, diberi pilihan untuk mewakili pasukan Kelantan United agak memberi tekanan kerana negeri itu memiliki ramai penyokong tetapi akan cuba atur strategi yang betul agar segalanya berjalan lancar,” katanya.

Hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 bakal menjadi rebutan untuk kejohanan yang bakal disiarkan secara langsung di Facebook MFL, eMFL dan juga Gamesbond yang merupakan kerjasama kepada MFL dalam kejohanan ini.

Penganjuran edisi pertama ePiala Malaysia tahun lalu telah merekodkan lebih 250,000 tontonan dengan atlet e-Sukan ter­kenal, Luqman Haziq Hajiman yang mewakili pasukan TFC berjaya meraih gelaran juara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI