fbpx

Bomba cari kereta hilang dalam sungai penuh buaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak bomba berusaha mencari kereta berkenaan.

BINTULU – Operasi mencari sedang giat dijalankan ke atas sebuah kereta yang dipercayai telah masuk ke dalam sungai di Wharf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sebauh, Sungai Kemena di sini sekitar pukul 8 malam malam semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, saksi di tempat kejadian memberitahu bahawa berkemungkinan terdapat mangsa yang masih berada di dalam kereta yang jatuh ke dalam sungai tersebut.

“Namun, tidak dapat dipastikan berapa mangsa terlibat dan jenis kenderaan mangsa. Maklumat keluarga mangsa pun tidak diketahui,” katanya dalam laporan pertengahan kes.

Tiba di lokasi, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Christus Buson, yang bertindak sebagai komander operasi membuat keputusan untuk mengesan kedudukan kereta menggunakan ‘grapping iron’ dengan bantuan perahu penduduk.

“Atas faktor keselamatan dalam mengambil kira faktor keadaan sungai yang agak deras dan mempunyai binatang buas seperti buaya, operasi penyelaman terpaksa dibuat keesokan hari (hari ini).

“Lokasi kenderaan telah dikenal pasti kedudukannya iaitu anggaran jarak 150 kaki dari tebing Wharf dan telah ditandakan dengan pelampung.

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah dibuka di Wharf berkenaan untuk anggota bomba bersiap siaga di lokasi dan pemantauan secara surface di lokasi terus digerakkan,” katanya semalam.

Operasi diteruskan dengan kekuatan satu jentera FRT, satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS), satu jentera Hilux, serta bot penyelamat bersama sembilan anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Stephen Plen.

Agensi lain yang turut terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI