fbpx
Gambar hiasan

Maradona bintang cukup luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SOPI SAMAILE,
PENGARANG BERITA KOSMO.

DIEGO Armando Maradona, merupakan ikon bola sepak yang sungguh mempesonakan, bakatnya luar biasa sehingga mencetuskan fenomena bahkan tidak kurang juga kontroversi di dalam dan luar padang. Layak bergelar legenda bintang sepanjang zaman.

Maradona sememangnya salah seorang pemain pa­ling berbakat menerusi kombinasi kemahiran, visi dan kepantasan yang memukau peminat.

Namun, Maradona mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat bukan disebabkan kontroversi gol ‘Hand of God’ (Tangan Tuhan) sebaliknya disebabkan isu penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol.

Dilahirkan 60 tahun lalu di kota kecil Buenos Aires, Maradona masa mudanya muncul sebagai bintang bola sepak yang disifatkan oleh beberapa pihak lebih hebat berbanding legenda Brazil, Pele.

Bintang Argentina yang sudah menjaringkan 259 gol dalam 491 perlawanan itu, berjaya menewaskan Pele yang merupakan pesaingnya dari Amerika Selatan dalam pemilihan pemain terhebat abad ke-20.

Bagaimanapun, FIFA mengubah peraturan sehingga kedua-dua pemain legenda tersebut mendapat penghormatan masing-masing.

Menariknya, Maradona berjaya menunjukkan kemampuan luar biasa pada usia muda apabila mengemudi pasukan remaja Los Cebollitas mengharungi 136 perlawanan tanpa kalah dan tampil di pentas antarabangsa ketika berumur 16 tahun 120 hari.

Meskipun berbadan pendek dan gemuk dengan ketinggian 5 kaki 5 inci, Maradona cukup terkenal kerana kemahiran, kelincahan, penguasaan bola, menggelecek dan kepantasannya di atas padang.

Kejayaan Maradona menjaringkan 34 gol dalam 91 penampilan bersama Argentina menceritakan sebahagian daripada kisah kariernya yang turun dan naik di peringkat antarabangsa selain membawa negaranya menjulang Piala Dunia 1986.

Paling kontroversi dan diingati adalah frasa ‘Hand of God’ oleh Maradona untuk menggambarkan golnya bagi aksi suku akhir melawan England pada Piala Dunia 1986.

Jika menurut peraturan, Maradona seharusnya dilayangkan kad kuning kerana menggunakan tangannya, manakala jaringan tersebut harus dibatalkan.

Bagaimanapun, disebabkan pengadil perlawanan tidak dapat melihat jelas insiden itu dan belum ada lagi teknologi video bantuan pengadil (VAR), maka gol tersebut sah dengan Argentina mendahului 1-0.

Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 2-1 selepas Maradona menjaringkan gol kedua yang diangkat sebagai jaringan terhebat abad ini (Goal of the Century).

Menariknya, selepas perlawanan itu, Maradona menyifatkan ‘Hand of God’ itu dijaringkan menerusi sedikit dengan kepalanya dan sedikit menerusi tangan tuhan.

Pada tahun 2005, selepas 19 tahun gol kontroversi itu, Maradona dikatakan mengakui dalam satu program bahawa jaringan tersebut sebenarnya dilakukan menggunakan tangannya.

“Jika saya boleh memohon maaf dan kembali ubah sejarah, saya akan lakukannya. Tetapi gol itu tetap gol, Argentina muncul juara dunia dan saya pemain terbaik di dunia. Saya tidak dapat mengubah sejarah. Apa yang mampu saya lakukan adalah biarkan ia menjadi sejarah.”

BERITA BERKAITAN