HUBUNGAN keluarga yang renggang, perasaan seperti disisihkan selain pelbagai masalah yang menghimpit diri sewaktu zaman remaja mendorong Alang (bukan nama sebenar) terjebak ke dalam kancah penyalahgunaan dadah.
Di kala rakan-rakan sebayanya bercita-cita mahu melanjutkan pengajian di peringkat universiti, Alang yang ketika itu berusia 18 tahun sudah mula mengenali barang larangan tersebut kerana mahu mencuba.
Sepanjang tempoh 20 tahun bergelumang dengan najis dadah, wanita berasal dari Kampar, Perak itu pernah terfikir untuk berubah dan tidak mahu lagi bertemankan dadah, namun dia tidak mempunyai kekuatan untuk keluar dari lembah hina itu.
Begitupun, ternyata perancangan Allah mengatasi segalanya apabila Alang yang kini berusia 38 tahun ditangkap di rumahnya pada Mac lalu dan bermulalah episod kehidupan baharu buat ibu kepada lima anak itu.
“Dari usia saya 18 tahun apabila terjebak dengan dadah, saya selalu ‘terlepas’ daripada dicekup sehinggalah pada Mac lalu, polis menyerbu rumah dan menjumpai dadah pada diri saya.
“Adik saya turut ditahan dalam kejadian itu. Saya dibawa ke lokap, seterusnya naik ke mahkamah dan dikenakan hukuman penjara lima bulan di Penjara Tapah,” katanya ketika ditemui K2 di pejabat urusan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak) di Cyberjaya baru-baru ini.

Kehidupan di penjara benar-benar memberi keinsafan kepada Alang sekali gus dirinya berazam untuk berubah serta membina kehidupan baharu sebaik keluar dari tabir besi itu.
“Saya nekad untuk berubah, namun berdepan dugaan di sekeliling sebaik keluar dari penjara termasuklah penerimaan orang lain dan sudah tentu, iman saya juga tidak kuat untuk meninggalkan kehidupan lalu.
“Bagaimanapun apabila bertemu ustaz dan ustazah, selain mereka yang banyak membantu terutama dari Pergak, ia sedikit sebanyak memberi saya kekuatan untuk terus berubah,” ceritanya.
Setelah keluar dari penjara pada bulan Ogos lalu, Alang berdaftar menerusi Program I-Kembali bersama Pergak dan kini bekerja sebagai warden di asrama pekerja wanita di Klang, Selangor yang turut menempatkan bekas banduan.
Tanpa memberitahu keluarga mengenai keberadaannya, dia sanggup berjauhan dengan lima anaknya berusia antara empat hingga 17 tahun yang kini dalam jagaan bekas suaminya di Perak.
“Sebagai bekas banduan, hati kami memang sensitif, malah tahu masyarakat sukar menerima dan ada yang memandang hina orang seperti kami,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka ada orang yang berhati baik seperti Pengerusi Pergak, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad yang sanggup memberi kepercayaan kepada bekas banduan untuk kembali dalam masyarakat.
“Kami bukan sahaja diterima bekerja, malah pelbagai kata-kata semangat dititipkan kepada kami tanpa rasa jemu dan mereka sentiasa memberikan sokongan serta dorongan,” katanya sebak.
I-Kembali merupakan program anjuran Pergak dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia yang bertujuan membantu bekas banduan mendapatkan pekerjaan selepas tamat hukuman penjara sekali gus membolehkan membina hidup baharu.
Seorang bekas banduan dikenali sebagai Bob, 31, pula meluahkan rasa bersyukur dan gembira kerana menerusi Program I-Kembali, dia diberi peluang bekerja sebagai penolong pembantu cat di sebuah industri mengecat kenderaan food truck sejak dibebaskan pada 23 Ogos lalu.
“Sebelum ini saya memang tak tahu mengecat, setakat cat rumah pernahlah tetapi apabila ditempatkan di kilang ini, majikan memberikan latihan dan saya belajar selok-belok mengecat.
“Ternyata mengecat ini bukan suatu yang mudah, lebih-lebih lagi untuk mengecat kenderaan berbeza dengan mengecat rumah. Namun, saya berasa seronok di sini ditambah dua lagi rakan bekas banduan bekerja bersama,” kata lelaki dari Lumut, Perak itu.
Bob berkata, rutin hariannya kini berubah dan bukan hanya kerja mengecat. Dia juga perlu melaksanakan kerja lain seperti mengemas dan membersihkan kawasan di sekeliling premis dengan waktu kerja bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, manakala cuti pada hari Ahad.
Justeru, dia berterima kasih kepada pihak Pergak, sekali gus berazam membina kehidupan baharu, lebih-lebih lagi mengenangkan ibunya turut gembira dan bersyukur dengan perubahan dirinya.
Bob sebelum ini menjalani hukuman penjara setahun selepas didapati bersalah mendatangkan kecederaan dan ugutan.
Sementara itu, menjelas lanjut mengenai program I-Kembali, Siti Murni selaku Pengerusi Pergak berkata, peserta program tersebut yang telah disaring ditempatkan di sektor-sektor pekerjaan meliputi perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perladangan, pemasaran serta pengurusan.
Beliau berkata, sehingga Mei lalu, seramai 120 peserta telah kembali bekerja melalui program I-Kembali yang dikendalikan oleh pihaknya.
“Mereka menjalani latihan kira-kira seminggu atau dua minggu sebelum dihantar kepada majikan.
“Gaji permulaan yang diterima mereka antara RM1,200 hingga RM2,000 bergantung kepada jenis sektor pekerjaan, malah tempat penginapan turut disediakan oleh pihak majikan masing-masing,” katanya.

Tegasnya, bekas penghuni penjara yang terpilih akan melalui satu proses saringan di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuaian.
Siti Murni berkata, peserta-peserta yang berjaya mendapat pekerjaan bersesuaian akan dipantau oleh Pergak dan Jabatan Penjara Malaysia.
“Jika timbul masalah, kita akan menggantikannya dengan peserta lain dan pada masa sama menyiasat lebih lanjut.
“Pada masa sama, kami sentiasa memberikan dorongan kepada bekas banduan ini kerana tidak mahu mereka kembali kepada kehidupan lama,” kata wanita berjiwa murni itu.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 37, berharap masyarakat boleh menerima dan memberi sokongan kepada golongan bekas banduan seperti dirinya dan rakan-rakan yang lain untuk berubah.
Alang, bekas banduan dari Penjara Tapah kini bekerja sebagai warden asrama peserta program itu di Jenjarom.
Bapa kepada tiga anak berusia tujuh hingga 15 tahun itu menjalani hukuman penjara dua bulan selepas terbabit dalam pergaduhan berikutan salah faham melibatkan ahli keluarga.
Cerita Angah, dalam pergaduhan itu, dia melakukan tindakan terburu-buru yang akhirnya memakan diri selepas dituduh di mahkamah serta dikenakan hukuman.
“Banyak yang saya belajar sepanjang dua bulan di penjara. Orang macam kami ini ada keinginan untuk berubah cuma tanggapan masyarakat memandang hina golongan seperti kami.
“Tambahan lagi, hati kami memang sensitif. Kami bukan mahukan duit, kami cuma mahu sokongan untuk berubah.
“Siapa sanggup berenggang dengan adik-beradik serta keluarga dan siapa yang suka masuk penjara?” katanya dengan nada sebak.
Dalam pada itu, Angah bersyukur kerana dengan bantuan daripada Pergak, dia dapat merasai kasih sayang selain menganggap rakan-rakan lain seperti adik-beradiknya.
“Tidak ada yang memandang hina kami di sini dan sekarang saya merasakan ada keluarga baharu.
“Menerusi peluang kedua yang diberikan ini, saya mahu buktikan kepada masyarakat yang saya juga boleh berubah menjadi lebih baik,” katanya.















