fbpx

Polis perketat kawalan PKPD Top Glove

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Polis Selangor memperketatkan kawalan keselamatan secara menyeluruh di lokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove, Meru, Klang.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menjalankan pemantauan di kawasan itu selama 24 jam bagi memastikan kelancaran ujian saringan Covid-19 dan proses kuarantin.

“Kawalan keselamatan di lokasi PKPD berkenaan dijalankan secara ketat sejak 17 November lalu dan masih berjalan lancar sehingga kini.

“Kita akan bertindak sepenuhnya atas arahan lanjut kerajaan terutama Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas mengenai penularan gambar pekerja Top Glove menyusup masuk dan keluar ketika PKPD, beliau menegaskan perkara itu berlaku sebelum kawalan ketat dilakukan di kawasan tersebut.

“Gambar tular itu sudah lama dipercayai diambil pada hari awal pelaksanaan PKPD ketika kita belum memasang pagar atau kawad berduri.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan melibatkan warga asing atau pekerja kilang itu setakat ini,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi Covid-19 di negara ini iaitu sebanyak 1,623 kes.

Sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan melibatkan Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 1,511 kes atau 93.1 peratus.

Baru-baru ini, kerajaan turut bersetuju supaya 28 kilang Top Glove ditutup secara berperingkat susulan peningkatan kes positif di lokaliti berkenaan.

Tindakan lanjut berhubung saringan kedua terhadap pekerja kilang itu akan diambil setelah perbincangan dilakukan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI