fbpx

MOTAC gerakkan pelan pemulihan dengan kerjasama penggiat industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Tiga teras utama pelan pemulihan yang telah digariskan di bawah strategi pemulihan pelancongan dijangka akan menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tiga teras berkenaan adalah merangkumi aspek mengembalikan keyakinan untuk melancong, menyemarakkan pelancongan domestik dan memaksimumkan sumber sedia ada.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) akan menggerakkan pelan pemulihan pelancongan tersebut melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dengan melibatkan kerjasama penggiat-penggiat industri pelancongan negara.

“Program yang telah dikenal pasti untuk menggerakkan industri pelancongan tempatan adalah dengan melibatkan kerjasama dengan semua pemain industri seperti syarikat penerbangan, pengangkutan dan badan bukan kerajaan dalam industri pelancongan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet (MyBHA),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nancy berkata, selain itu, kerjasama dengan MyBHA bagi hotel bajet tiga bintang ke bawah yang terpilih dan aktif mengikut negeri dan keutamaan akan diberikan kepada ahli yang berdaftar dengan MOTAC melalui kempen ‘Jom Nginap’ dan ‘Malaysia Welcomes You’.

“Lain-lain rancangan adalah menerusi Kempen ‘Cuti-Cuti Malaysia’ dengan kerjasama syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Firefly, AirAsia dan Malindo Air bagi meningkatkan kesalinghubungan ke lokasi percutian di dalam negara untuk merangsang pelancongan domestik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Tourism Malaysia akan menjalin kerjasama dengan penggiat industri melalui segmen perkhidmatan, pengangkutan dan syarikat swasta iaitu Prasarana bagi menggalakkan pergerakan inter dan intra dalam kalangan pelancong domestik dan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Di samping itu, diskaun pembelian produk kraf di outlet Karyaneka untuk menggalakkan penjualan kraftangan tempatan.

“Mekanisme yang dicadangkan merupakan pemberian baucar, diskaun, rebat tunai yang akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat.

“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan rakyat melalui pembelian dan tempahan atas talian, penggunaan aplikasi mobil dan penebusan e-baucar tunai,” katanya.

Beliau berkata, MOTAC menyambut baik keputusan kerajaan yang telah membenarkan gelembung perjalanan domestik antara zon-zon hijau dalam negara.

“Oleh itu, kami berharap rakyat akan mengambil peluang untuk melancong dengan selamat dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu sepanjang perjalanan,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menyeru pemain industri pelancongan supaya sentiasa menampilkan tawaran-tawaran pakej menarik di samping menjaga SOP dengan norma baharu bagi memastikan kelestarian ekonomi pelancongan yang merupakan salah satu penyumbang besar ekonomi negara.

“Program serta inisiatif yang telah dirangka diharap dapat membantu menaikkan semula sektor pelancongan domestik dengan kerjasama dari setiap pihak industri pelancongan tempatan ke arah pemulihan dan kemajuan ekonomi negara,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI