Usaha MOTAC memperkukuh kerjasama serantau sepanjang separuh pertama 2026 dilihat berjaya mengimbangi penurunan pelancong antarabangsa akibat konflik.

21 juta pelawat asing pilih Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia berjaya merekodkan ketibaan lebih daripada 21 juta pelawat antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, meskipun ketidaktentuan geopolitik telah menjejaskan perjalanan dan operasi penerbangan global.

Peningkatan itu mencerminkan daya tarik Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, disokong kepelbagaian produk pelancongan, kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi serta pengalaman unik yang ditawarkan kepada pelawat antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Seri Tiong King Sing berkata, data Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen menunjukkan Malaysia menerima 21,118,039 ketibaan pelawat antarabangsa antara bulan Januari dan Jun tahun ini.

Angka itu menunjukkan pening­katan sebanyak 514,958 ketibaan, atau 2.5 peratus berbanding 20,603,081 yang dicatatkan pada tem­poh sama tahun lalu.

“Daripada 50 pasaran sumber pelawat antarabangsa utama Ma­laysia, ketibaan daripada 26 pa­sa­­­ran menurun, manakala 24 la­gi men­­­catatkan pertumbuhan. Se­­­ca­ra ke­seluruhan, Malaysia masih men­ca­tatkan peningkatan seder­hana dalam ketibaan pelawat an­tarabang­sa pada separuh pertama tahun ini.

“Ini ialah kadar pertumbuhan terendah bagi tempoh yang sama sejak pemulihan pasca pandemik bermula, terutamanya disebabkan kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap operasi pe­ner­bangan antarabangsa, yang se­­­terusnya menjejaskan pasaran per­­jalanan ke luar negara di seluruh du­nia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama Laporan Pres­tasi Separuh Pertama 2026.

Kelebihan penawaran dan daya saing pelancongan negara terus dipertingkat menerusi jalinan kerjasama rapat bersama rakan industri.

King Sing berkata, Eropah dan Asia Barat merupakan dua pasaran yang paling terjejas impak konflik tersebut.

“Di Eropah, Perancis merupakan satu-satunya daripada tiga pasaran sumber utama yang mencatatkan pertumbuhan, manakala ketibaan dari Britain dan Jerman menurun. Jerman khususnya mencatatkan pertumbuhan negatif buat kali pertama sejak pasaran pelanco­ngan mula pulih selepas pandemik,” katanya.

Pada masa sama, ketibaan dari Turkiye, Rusia, Sepanyol dan Poland meningkat, manakala pasaran sumber utama lain terjejas pada tahap yang berbeza-beza akibat konflik.

“Konflik turut menyebabkan kenaikan harga bahan api antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan ke luar negara dan menjejaskan perjalanan dari wilayah lain, termasuk India di Asia Selatan, serta Taiwan dan Korea Selatan di Asia Timur,” katanya.

Tiong King Sing.

Dalam pada itu, Tiong turut ber­kata, ketibaan daripada pasaran sumber utama Malaysia di Asia Teng­gara pula semakin berkembang termasuk Singapura, Filipina, China, serta negara dari rantau Asia Tengah, Oceania dan Amerika Utara.

Jelas beliau, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga telah menyesuaikan strategi pasaran sebagai tindak balas terhadap keadaan global yang berubah, dengan memberi tumpuan lebih kuat kepada pasaran Asia, khususnya Asia Tenggara dan Asia Timur.

Penerbangan terjejas

Dalam perkembangan sama, Menteri turut memaklumkan Malaysia menerima 88,058 penerba­ngan antarabangsa pada separuh pertama 2026, iaitu 3.7 peratus ku­rang daripada yang dijadualkan pada asalnya.

Menurut beliau, 91,486 penerbangan antarabangsa pada asalnya dijadualkan tiba di Malaysia dalam tempoh tersebut, namun 4,111 pe­ner­bangan berjadual dibatalkan akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Selepas pelarasan, sebanyak 683 penerbangan baharu ditambah, men­jadikan jumlah keseluruhan penerbangan 3,428 kurang daripada jadual asal.

“Kesan konflik jelas tergambar dalam operasi penerbangan. Sejak ia bermula pada Februari, bi­langan penerbangan berjadual yang dibatalkan setiap bulan terus me­ningkat.

“Sembilan penerbangan diba­talkan pada Februari. Angka itu meningkat kepada lebih 300 pada Mac, hampir 1,000 pada April dan 1,419 penerbangan antarabangsa ke Malaysia pada Jun,” katanya.

Berhubung kapasiti tempat du­duk, ia di bawah unjuran awal, namun masih meningkat lebih satu juta berbanding tahun lalu.

“Syarikat-syarikat penerbangan pada asalnya telah merancang kekerapan penerbangan, jenis pesa­wat dan kapasiti tempat duduk ba­gi separuh pertama 2026, de­ngan kapasiti maksimum dijangka mencecah 18.34 juta tempat du­duk.

“Namun, krisis Asia Barat menjejaskan sebahagian penerba­ngan yang telah dijadualkan. Pada masa sama, terdapat laluan yang menambah kekerapan penerbangan atau memperkenalkan penerbangan ba­haru.

“Selepas mengambil kira semua pertambahan dan pengurangan ini, kapasiti tempat duduk sebenar pada separuh pertama 2026 adalah kira-kira 17.63 juta, 3.9 peratus lebih rendah daripada unjuran asal.

“Berbanding 16.627 juta tempat duduk yang tersedia pada tempoh sama pada 2025, kapasiti tempat duduk bagi masih meningkat enam peratus, atau lebih satu juta tempat duduk,” jelas beliau.

King Sing mengetuai agensi pelancongan dan pemain industri tempatan ke acara pelancongan antarabangsa utama bagi mempromosikan Malaysia.

Sementara itu, jaringan penerbangan antarabangsa Malaysia te­rus berkembang, dengan separuh pertama 2026 menyaksikan 23 la­­luan baharu, 12 perkhidmatan pener­bangan baharu, dan sembilan per­khidmatan penerbangan sewa khas ke Malaysia diperkenalkan, men­­jadikan keseluruhan 44 pe­r­­khid­matan penerbangan baharu.

King Sing menjelaskan, penerbangan dari Asia Timur mencatatkan peningkatan kapasiti tempat duduk terbesar dengan tambahan lebih 500,000 tempat duduk, atau peningkatan 11.9 peratus.

Penerbangan dari negara anggota ASEAN pula merekodkan pe­ningkatan kedua terbesar dengan tambahan 376,423 tempat duduk, atau 4.5 peratus.

“Penurunan ketara dilihat pada penerbangan dari Asia Barat apabila kapasiti tempat duduk merosot daripada lebih satu juta pada kepada 806,532 pada separuh pertama tahun ini.

“Ini termasuk penerbangan dari Eropah yang menggunakan Asia Barat sebagai hab transit, dengan kapasiti tempat duduk merosot lebih 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” ujarnya.

Usaha membuka pasaran baharu berjaya membawa lebih ramai pelawat asing ke negara ini sepanjang tempoh enam bulan pertama 2026.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN