fbpx

Sarjan kena jel sehari, denda RM8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhari ketika hadir ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah RM2,500 hari ini.

SHAH ALAM – Perbuatan seorang anggota polis berpangkat sarjan menerima rasuah RM2,500 berbalas apabila dipenjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Azhari Razali, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dibacakan kepadanya.

Sekiranya gagal membayar, tertuduh diperintahkan menjalani penjara selama sebulan lagi.

Mengikut pertuduhan pilihan, Azhari yang merupakan penolong pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menerima rasuah RM2,500 daripada Suhaidee Haris Fadillah berusia 40 tahun pukul 8.35 malam pada 16 Oktober lalu di tempatnya bekerja.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, bapa kepada tiga anak itu telah dilantik untuk menyiasat kes terhadap Suhaidee yang ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki dua bilah parang yang ditemukan di dalam kenderaan Proton Iswara selepas diperiksa tiga anggota polis unit peronda di sebuah stesen minyak pada 17 September 2017.

Suhaidee telah datang mengambil kad pengenalannya pada 14 Oktober 2017 selepas dihubungi tertuduh sehari sebelum ini memaklumkan kad pengenalannya berada bersamanya.

Azhari kemudiannya telah membuat tawaran kepada Suhaidee untuk membayar wang sebanyak RM4,000 sekiranya mahu pertuduhan memiliki senjata itu diselesaikan cepat dan kes ditutup tanpa perlu pergi ke mahkamah.

Pada 16 Oktober 2017, Suhaidee kemudiannya menyerahkan wang tunai RM300 kepada tertuduh namun dipulangkan sebanyak RM500 sebagai wang manis.

Peguam Saranjeet Kaur Sidhu mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya bertindak demikian bagi menampung bil perubatan hospital bagi rawatan penyakit jantung ayahnya.

“Ini adalah kesalahan pertama dan tertuduh menyesal dan malu akan perbuatan tersebut selain perlu menanggung isteri dan tiga orang anaknya berusia 22 bulan hingga 6 tahun,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab menegaskan tertuduh sebagai anggota polis telah diberikan amanah memartabatkan undang-undang selain ia merupakan perbuatan serius. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI