fbpx

Lengkapkan ilmu halal buat kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

SECARA umumnya, menurut Islam, makanan halal adalah yang mampu memberi kebaikan kepada pemakannya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 16: “Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.”

Dalam ayat di atas, jelas Allah SWT menyeru orang Mukmin supaya memilih makanan yang bersih dalam kehidupan harian serta bersyukur dengan nikmat diberikan.

Sebagaimana orang dewasa yang mempunyai pemahaman baik terhadap status makanan halal, kanak-kanak juga perlu dibekalkan dengan ilmu berke­naan secukupnya.

Malangnya, usaha membe­kalkan pendidikan berkaitan makanan halal kepada golongan tersebut masih rendah.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC), Atiqah Ab. Aziz memaklumkan, rata-rata pelajar di peringkat sekolah rendah masih kurang memahami maksud sebenar makanan halal.

Jelasnya, kebanyakan pelajar secara amnya memahami maksud halal, namun kehafahaman mereka tidak menyeluruh se­perti samak, sertu dan halalan toyyiban.

“Hasil program dijalankan di beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang baru-baru ini, saya mendapati lebih 50 peratus pelajar tidak memahami konsep halal sebenar dan ia sangat membimbangkan.

“Malah, ada pelajar yang masih tidak mengenali logo halal yang digunakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan logo halal dari luar negara diperakui oleh Jakim,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Ujar Atiqa, kanak-kanak harus memahami konsep halal kerana mereka juga seorang pengguna ketika tidak bersama penjaga seperti di sekolah.

“Para pelajar ini terdedah kepada pelbagai makanan yang dijual di kantin atau kawasan sekitar sekolah. Hakikatnya, tidak semua gula-gula atau jajan yang dijual itu adalah halal.

“Sekiranya golongan ini me­nge­tahui maksud dan logo halal yang sah, maka mereka dapat mengelak daripada terbeli makanan tidak halal itu,” katanya.

Kesan globalisasi dan perkembangan teknologi makanan ketika ini membolehkan pelbagai jenis makanan diimport ke pasaran tempatan. Situasi ini menyukarkan pengguna Islam mengetahui status halal makanan tersebut.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum, Kolej Pengajian Islam Johor, Noor Adeeba Mohd. Dahlah berkata, gaya pemakanan halal harus diterapkan sejak awal dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, usaha tersebut dapat memberi kesan sampingan yang baik kepada perkembangan pertumbuhan dan persekitaran luaran kanak-kanak.

“Selain membantu kanak-kanak membesar dengan baik dan cergas, ia mampu mendidik mereka supaya lebih berdisiplin dalam bab-bab pemilihan makanan.

“Jadual pemakanan yang ketat pula mampu membantu mereka mempunyai disiplin yang bagus dan peribadi yang baik,” katanya.

Noor Adeeba menambah, ibu bapa dan guru harus memperkasakan lagi usaha untuk memberikan pendidikan yang terbaik dari segi pemakanan.

Katanya, permulaan seseorang individu yang hebat bermula daripada asasnya iaitu makanan dimakan setiap hari.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI