TERKENAL dengan mulut lancang yang tebal aksen Inggeris dalam melontarkan pandangan peribadi tentang rencam isu semasa, lelaki yang terkenal dengan nama pentas Caprice itu mengakui khilaf sendiri. Dia juga sering melakukan kesalahan.
Kata Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 32, tiada manusia yang sempurna di muka bumi Allah ini. Justeru, dia akan cuba berdakwah sekerap mungkin melalui percakapannya dalam sosial media.
“Pendekatan saya ialah menegur walaupun saya mungkin betul atau salah pada pandangan orang lain. Bayangkan kita pergi bekerja, tidak semua kerja kita akan disukai orang.
“Saya juga tidak pernah berfikir akan selalu betul tetapi sebagai seorang manusia dan seorang muslim, saya sentiasa mencuba untuk memberikan teguran secara baik dalam sebarang isu kepada orang ramai.

– FARIZ RUSADIO
“Saya tahu pada penghujungnya, tidak semua orang akan suka dengan apa yang terluah daripada bibir kita. Saya sedaya upaya sentiasa berhati-hati dalam melontarkan kata,” kata penyanyi rap yang terkenal dengan lagu Xde Hal Bro itu.
Caprice bukan sahaja seorang penyanyi rap, dia seorang usahawan berjaya yang sudah mengasaskan pelbagai jenama seperti aplikasi Mengaji.com, Al-FatehOS, Kaki Code dan banyak lagi.
Falsafah
Kejayaan yang datang kepadanya bukan datang bergolek. Semuanya disusuli usaha keras dan doa yang tidak henti daripada bibir sendiri dan orang sekelilingnya.
“Filosofi hidup saya mudah. Pertama sekali, jaga ibu dan kedua, kita buat apa sahaja yang kita ingin buat.
“Asalkan kita tidak kacau hidup orang dan tidak sakitkan hati orang, kita langgar sahaja. Kita bukan buat perniagaan scam atau berlaku samseng,” tutur Caprice lagi.
Penampilan urban dengan gaya rapper bukan penghalang buat pemilik syarikat rakaman Caprice Records itu untuk berdakwah dengan cara sendiri.
“Saya mula mendekati agama apabila membina Mengaji.com.
“Sebelum itu, saya banyak membuat khilaf namun semakin sedar dari semasa ke semasa, hidup ini bukan hanya untuk mengejar kebendaan. Banyak perkara yang kita sebagai orang Islam terlepas pandang.
“Saya juga seorang yang amat panas baran hingga pada hari ini. Namun, semakin usia meningkat, panas baran saya semakin baik. Masih panas baran namun sudah tidak terlalu teruk seperti dahulu,” katanya.

Melanjutkan bicara, Caprice memaklumkan, semakin hari semakin banyak dia mempelajari tentang kehidupan. Ujarnya, berdakwah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam.
“Mungkin orang fikir kalau ingin berdakwah kena pakai kopiah dan sebagainya, sebenarnya tidak. Kita orang Islam mempunyai tanggungjawab masing-masing.
“Anda pakai baju macam mana sekalipun, kalau sudah dalam kad pengenalan bahagian agama tertulis Islam, kita mempunyai peranan menyebarkan dakwah Islam,” katanya bersungguh.

Tak suntik agama dalam rap
Seperti judul lagu terbaharunya, Langgar, pada kaca mata masyarakat, Caprice juga dilihat sebagai seorang figura yang suka ‘langgar’ dengan pendapat kritikalnya dalam sosial media.
Katanya, dia bukan mengecam atau menyindir tentang sesuatu isu secara membuta tuli tetapi mahu membentuk masyarakat yang bersifat kritikal.
“Saya bukan hanya kecam bahkan sentiasa bersikap kritikal terhadap sesuatu isu. Mungkin itu tidak disenangi segelintir orang tetapi, apa saya boleh buat.
“Insya-Allah, cara kritikan saya akan lebih matang dari masa ke masa. Kalau saya sindir, memang saya berniat untuk sindir.
“Kalau saya ingin bersikap kritikal, itu yang akan saya berikan melalui pandangan saya dalam Instagram misalnya,” terangnya.
Meneruskan bicara, Caprice mendedahkan, dia tidak mahu menjadi seorang penyanyi rap yang menyuntik elemen agama melalui nyanyiannya.
“Saya memang tidak akan rap tentang agama. Itu bukan saya. Kalau saya ingin berdakwah, saya boleh buat melalui medium lain.
“Rap bagi saya macam pergi main golf. Hanya untuk aktiviti riadah. Kalau saya ingin berdakwah, saya boleh buat mungkin dengan cara lain. Macam bangunkan aplikasi Mengaji.com,” tuturnya.
Berbicara tentang lagu Langgar projek kolaboratif dengan Bate featuring Zynakal, Shou Raion dan Carlolitto, dia berbesar hati dapat bekerjasama dengan ke semua artis tersebut terutama Bate.
“Dahulu kita ada DJ Fuzz. Sekarang kita ada duo DJ yang memang hebat iaitu Bate. Mereka berdua pernah buat lagu dengan anggota kumpulan Blue, Simon Webbe.
“Langgar juga merupakan single Melayu pertama mereka. Lagu Langgar ini boleh membawa simbol provokatif, kurang ajar dan keyakinan.
“Untuk kami, kami pergi dengan simbol atau elemen yang ketiga iaitu keyakinan. Buat pendengar, terpulang kepada interpretasi masing-masing,” kata Caprice menggulung bicara.















