fbpx

‘Lorong tikus’ dipasang kawat duri, penghadang konkrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Keseluruhan Zon B dan C di Taman Meru 2C yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikawal ketat dengan kesemua laluan kecil atau lorong tikus dipasang pagar kawat duri dan penghadang konkrit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, empat sekatan jalan raya (SJR) diadakan termasuk di pintu masuk utama ke Zon B dan C selain kawalan oleh Unit Peronda Polis (MPV) dan rondaan berjalan kaki di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, penugasan itu disertai seramai 162 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“PKPD di Taman Meru 2C ini melibatkan Zon B dan C di mana membabitkan 597 rumah dengan 2,096 penduduk.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,287 penduduk telah selesai menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 dan dipakaikan gelang pink. Kesemua mereka dikehendaki menjalani saringan berkenaan sejak Ahad lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau PKPD di Taman Meru 2C di sini hari ini.

Menurutnya, sejak saringan bersasar itu dilakukan, seramai 23 penduduk yang menjalani saringan pada 15, 16 dan 17 November adalah positif Covid-19 manakala baki keputusan saringan yang lain masih belum diperolehi.

Katanya, jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk kes asal yang menyebabkan tindakan PKPD dijalankan di kawasan berkenaan.

“Sepanjang PKPD ini dijalankan, kita tidak membenarkan mana-mana penduduk keluar dari kawasan ini kecuali kes-kes kecemasan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah namun keputusan itu berdasarkan kepada kes.

“Untuk saringan penyakit lain selain Covid-19, Jabatan Kesihatan Perak telah membuka unit bergerak untuk mereka mendapatkan rawatan,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI