fbpx

Enam aplikasi PPW tidak berlesen disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APLIKASI PPW Asialend antara enam yang disiasat.

PUTRAJAYA – Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) membuka kertas siasatan ke atas enam aplikasi dalam talian Pemberi Pinjam Wang (PPW) tidak berlesen atas pelanggaran di bawah seksyen 5 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Enam aplikasi tersebut ialah Asialend, Dreamlend, iPayfren, iPinjaman, Helplend4u dan GoCash4u.

JPDP dalam satu kenyataan berkata, kesemua aplikasi dalam talian PPW itu didapati telah mengakses dan menyalin maklumat lain termasuk data peribadi yang tidak berkaitan dengan urusan pinjaman tanpa kebenaran peminjam.

Justeru, JPDP dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuka kertas siasatan berikutan masih menerima banyak aduan berkaitan dengan penyalahgunaan data peribadi oleh aplikasi dalam talian PPW tidak berlesen.

“JPDP memandang serius mengenai perkara ini dan mengesyorkan supaya rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati apabila membuat sebarang pinjaman secara dalam talian.

“Ini terutamanya semasa memberikan persetujuan terhadap aplikasi yang telah dimuat turun bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mempunyai akses yang tidak sepatutnya,” katanya di sini hari ini.

JPDP berkata, entiti terbabit boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, JPDP berkata, mana-mana peminjam yang data peribadinya telah disalahgunakan oleh aplikasi dalam talian PPW tidak berlesen terbabit diseru untuk menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JPDP.

Katanya, peminjam boleh hubungi JPDP di alamat e-mel [email protected] atau Sistem Perlindungan Data Peribadi (daftar.pdp.gov.my) bagi membantu siasatan yang dijalankan.

Sementara itu, JPDP berkata, semua peminjam dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengetahui status pendaftaran PPW berkenaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI