fbpx

Prestasi pasaran buruh meningkat bagi suku ketiga 2020 – Mohd. Uzir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Prestasi pasaran buruh bagi suku ketiga tahun ini meningkat sedikit berbanding suku kedua susulan kebanyakan sektor ekonomi mula beroperasi semula secara beransur-ansur mulai 10 Jun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, setelah Malaysia memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sektor pendidikan dan industri mula dibuka dan ia menyumbang kepada perkembangan positif pada suku tahun ketiga.

Beliau berkata, ia turut dibantu peningkatan aktiviti pelancongan selaras kebenaran perjalanan merentas negeri.

“Perkara itu menyumbang kepada kedudukan pasaran yang lebih baik bagi suku tersebut berbanding suku kedua 2020.

“Selain itu, kadar penggangguran turun kepada 4.7 peratus pada suku ketiga selepas mencatatkan kadar tertinggi iaitu 5.1 peratus pada suku kedua,” katanya dalam kenyataan akhbar bagi mengumumkan Sorotan Pasaran Buruh, Suku Ketiga 2020, hari ini.

Katanya, jumlah penduduk bekerja bagi tempoh suku ketiga juga meningkat 1.4 peratus kepada 15.1 juta dengan sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Mengulas kedudukan pasaran buruh bagi bulan berikutnya, Mohd Uzir berkata, pasaran buruh dijangka berdepan cabaran susulan gelombang ketiga Covid-19 melanda negara bermula akhir September lalu.

“Dalam hal ini, pasaran buruh dijangka akan menghadapi cabaran bagi memperoleh kembali momentumnya.

“Bagaimanapun, kerajaan menerusi tindakan proaktif telah memperkenalkan pakej rangsangan komprehensif dalam melindungi kumpulan yang terjejas, mengekal dan mewujudkan pekerjaan baharu,” katanya.

Katanya, pelanjutan Program Subsidi Upah sehingga Disember 2020 dijangka akan beransur-ansur dapat membantu pengoperasian semula firma dan pada masa sama, melindungi pekerja daripada kehilangan pekerjaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI