fbpx

Tiga individu termasuk Awal Ashaari disaman RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awal Ashaari

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat hiasan dalaman dan perabot memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap pelakon dan pengacara Awal Ashaari dan dua lagi individu kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung isu pengubahsuaian rumahnya tahun lalu.

Naz Empire Sdn. Bhd.  selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu melalui Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak pada 13 November lalu dengan menamakan Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari sebagai defendan pertama manakala dua lagi individu Nawal Yasmin Mat Noh dan Muhammad Hilmi Zulkifli masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Melalui semakan senarai kes mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan pada 11 Disember ini dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismail.

Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu mendakwa pada 3 Mei 2019 dengan menggunakan akaun Instagram nama @awalashaari, defendan pertama itu telah menghantar pesanan ringkas melalui ‘Direct Message'(DM) kepada akaun Instagram plaintif di mana dia telah menyatakan hasrat untuk melantik plaintif sebagai kontraktor bagi melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di rumahnya itu di Sunway Damansara.

Plaintif berkata pada 5 Mei 2019, pihaknya telah bertemu dengan defendan pertama itu di rumahnya di bagi membincangkan projek untuk menyiapkan wardrobe room di rumah tersebut.

Selepas perjumpaan tersebut, plaintif mula menghantar gambar-gambar hasil kerja yang sebelum ini telah disiapkan kepada pelanggan, sekiranya defendan pertama ingin menggunakan perkhidmatannya.

Pada 1 Jun 2019, defendan pertama melalui DM di Instagram kemudian telah menyatakan hasrat berminat untuk menggunakan khidmat plaintif bagi kerja-kerja perkayuan, pengubahsuaian dan rekaan dalaman rumah bernilai RM320,240.

Dakwa plaintif, pada 18 Julai 2019, defendan pertama itu telah bertanyakan sekiranya plaintif berminat untuk belanja kos bagi kerja-kerja pengubahsuaian itu dan plaintif bersetuju untuk memberi diskaun sebanyak RM105,240 dengan  hanya defendan itu perlu membayar RM215,000.

Kata plaintif, jumlah diskaun itu adalah kos yang ditaja olehnya dan defendan pertama turut bersetuju memberikan pengiklanan dan promosi percuma memperkenalkan kerja-kerja plaintif di laman sosial Instagram, Facebook dan YouTube memandangkan dia dan isterinya merupakan seorang selebriti dengan jumlah pengikut yang ramai.

Selepas defendan pertama membuat pembayaran sebanyak RM100,000 melalui dua transaksi masing-masing pada 1 dan 15 Ogos 2019, plaintif kemudian telah memulakan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut.

Plaintif mendakwa, pada 3 September 2019, defendan pertama mahu sky roof dan tambahan tingkap di dapur dengan dikenakan bayaran RM7,500 melalui sebut harga baru yang dikeluarkan pada 10 September 2019 selain turut meminta plaintif membuat perubahan di bahagian dapur basah dan kering.

Walaubagaimanapun pada 25 Oktober 2019, defendan pertama telah mengarahkan plaintif untuk menghentikan sementara kerja-kerja  di bahagian dapur melalui perbualan Whatsapp.

Plaintif berkata, defendan pertama tiba-tiba telah menimbulkan pelbagai isu dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hasil dan kualiti kerja plaintif yang sebelum ini tidak pernah dinyatakan langsung dan pada sama sentiasa mencari kesalahan terhadap hasil kerja yang selama ini tidak pernah dipertikaian.

Pada 16 Mac 2020 dengan secara tiba-tiba defendan pertama telah memaklumkan bahawa khidmat plaintif tidak lagi diperlukan yang kononnya tidak berpuas hati terhadap segala kerja-kerja plaintif yang telah dilaksanakan selain turut meminta memulangkan semula RM100,000.

Defendan pertama itu juga turut melantik kontraktor baharu ketika plaintif masih dalam proses perlaksanaaan pengubahsuaian.

Rentetan itu, plaintif mendakwa defendan pertama telah memulakan siri memfitnah berterusan di laman sosial Instagram, Faceboook dan YouTube yang kemudian fitnah-fitnah itu telah disiarkan oleh defendan kedua (Nawal Yasmin) dan ketiga (Muhammad Hilmi) melalui Instagram.

Plaintif berkata ekoran hantaran (posting) yang dibuat oleh ketiga-tiga defendan secara tidak langsung akan menyebabkan pihak-pihak lain menganggap plaintif adalah syarikat yang menawarkan servis yang teruk, menipu orang ramai dan mempergunakan modal bangsa dan agama untuk mendapatkan pelanggan selain wajar dihina dimalukan dan dijauhi masyarakat.

Malah, segala hantaran yang dibuat turut disiarkan di portal-portal berita hiburan dan televisyen selain dimuat naik dalam YouTube.

Justeru plaintif menuntut ganti rugi am ke atas kehilangan reputasi dalam jumlah RM3 juta bagi kesemua kenyataan fitnah yang diterbitkan, ganti rugi am, ganti rugi teladan, faedah, ganti rugi keterlaluan.

Selain itu plaintif turut menuntut satu injuksi bagi menghalang defendan mengeluarkan bentuk kenyataan fitnah serta permohonan maaf dimasukkan hantaran dan dimuat naik di tatapan umum dan dibiarkan sehingga tarikh yang akan dipersetujui plaintif. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI