fbpx

Solat Jumaat zon hijau, kuning di Perak ikut kapasiti dewan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh SHARANI ISMAIL

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan pelaksanaan solat Jumaat serta fardu di zon hijau dan kuning di Perak dibenarkan mengikut kapasiti ruang solat bermula hari ini.

Sebelum ini hanya 40 jemaah terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di zon hijau manakala hanya 23 jemaah dibenarkan di zon kuning.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), Shahrul Azam Shaari berkata, perkara itu dititahkan baginda, selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri serta Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).

“Ia juga dipertimbangkan selepas mengambil kira pandangan dan maklumbalas terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, solat Jumaat di zon merah ditangguhkan dan digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing manakala solat fardu berjemaah hanya boleh dilaksanakan oleh enam orang jemaah yang terdiri dari kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrul Azam berkata, lauangan azan di zon merah juga ditetapkan sebagaimana dianjurkan sebelum ini dengan saranan untuk jemaah menunaikan solat di rumah masing-masing selepas azan dilaungkan.

Katanya, pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di zon hijau dan kuning adalah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.

“Kehadiran menunaikan solat Jumaat dan fardu, pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dan identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

“Semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh, kuliah Dhuha, bacaan Yaasin, tahlil doa selamat dan sebagainya juga dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan solat fardu lima waktu yang dilaksanakan secara berjemaah dan aktiviti keagamaan di seluruh masjid, surau diri Jumaat dan surau dalam negeri Perak juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan.

Katanya, penggunaan masjid, surau Jumaat dan surau untuk ibadah solat dan aktiviti keagamaan hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan.

“Jawatankuasa kariah atau pegawai masjid hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat, solat berjemaah pada setiap solat fardu dan aktiviti keagamaan dimulakan.

“Jaipk akan mengemaskini status zon di negeri Perak dari semasa ke semasa berdasarkan ketetapan oleh MKN dan KKM,” katanya.

Ujar beliau, Jaipk juga mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri Perak seterusnya menyelia dan memastikan garis panduan tersebut dipatuhi.

Tambahnya, arahan dan ketetapan itu terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga Maipk mengeluarkan arahan baharu berhubung status dan perubahannya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI