fbpx

MMAG ambil alih M Jets dengan nilai RM21.36 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – MMAG Holdings Bhd. (MMAG) mengumumkan pengambilalihan M Jets International Sdn. Bhd. (M Jets) menerusi pemerolehan 80 peratus kepentingan ekuiti dalam M Jets dengan jumlah pertimbangan tunai RM21.36 juta,merangkumi kira-kira 5.69 juta saham biasa.

M Jets kini terlibat dalam perniagaan penyediaan penerbangan carter.

Pengarah Eksekutif MMAG, Kenny Khow berkata, melalui pemerolehan tersebut, M Jets akan memfokuskan kepada perniagaan kargo dengan dua pesawat Boeing 737-400F dijadualkan dibawa ke Malaysia pada pertengahan Disember 2020.

“Sasaran penerbangan sulung adalah pada akhir Januari atau awal Februari 2021,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Menerusi pengambilalihan M Jets, MMAG bakal  menjadi syarikat pengurusan rantaian bekalan bersepadu tempatan pertama di negara ini dengan sektor kargo udara sendiri.

Khow menerangkan, disebabkan pandemik, terdapat lonjakan permintaan e-dagang namun kebanyakan pesawat penumpang tidak beroperasi menyebabkan kekurangan ruang kurier yang serius ke destinasi rentas sempadan seperti Malaysia Timur.

“Perkhidmatan penghantaran sebelum ini dipenuhi dengan memanfaatkan ruang pesawat penumpang dan masa menunggu untuk ruang tersedia mungkin memakan masa sehingga 14 hari pada masa ini.

“Dengan pengambilalihan M Jets, MMAG Group dapat membuat jadual sendiri untuk penghantaran tepat pada masanya dan mengurangkan keperluan penggunaan ejen pihak ketiga,” jelas beliau.

POPULAR