fbpx

Enam individu edar dadah 32.7 kilogram berhadapan hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam tertuduh didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis methampethamine dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Tapah. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

TAPAH – Enam lelaki termasuk lima beradik berhadapan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 32.7 kilogram (kg) dua minggu lalu.

Lima beradik tersebut, S. Rathiswaran, 23; S. Suthentiran, 21; S. Sridharan, 20; S. Suthesan, 18, dan seorang lagi adik mereka yang berusia 17 tahun masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap seorang lagi tertuduh yang merupakan warga Myanmar, Kyaw, 23, ditangguhkan kepada 9 Disember bagi mendapatkan khidmat jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine berbahaya anggaran berat 32.7 kg di Lot 11878 di Chenderiang dekat sini pada pukul 9.15 pagi 4 November lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 39B(2) akta sama yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Zulkefli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Rajit Singh.

Mohd. Harith tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Kosmo! 6 November lalu melaporkan, polis membongkar kegiatan sebuah makmal mini memproses dadah jenis methamphetamine dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Chenderiang di sini.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas 32.7 kg dadah jenis syabu bernilai RM1.6 juta. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI