fbpx

Petugas barisan hadapan, penduduk terima bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Faris (tiga dari kanan) menyerahkan penyejuk udara kepada Penolong Pegawai Pembangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sepang, Nor Afzan Hamid (dua dari kiri).

SEPANG – Memasuki hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyalurkan bantuan dua mesin penyejuk udara dan makanan kepada petugas barisan hadapan di sini.

Pengarah Logistik Mapim, Muhammad Faris Husain berkata, usaha yang dilakukan merupakan kesinambungan PKPD di Hentian Kajang sebelum ini.

“Kita tahu dengan keadaan cuaca panas terik, sudah tentu ia memberi cabaran kepada petugas barisan hadapan.

“Jadi kita nak beri keselesaan kepada mereka untuk digunakan sepanjang berkhidmat di PKPD ini,” katanya.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan adalah mengikut kehendak semasa di kawasan PKPD.

“Mapim juga bersedia menyalurkan keperluan-keperluan lain yang bersesuaian dengan matlamat ‘Kita Jaga Kita’,” katanya.

Selain fasiliti kepada petugas barisan hadapan, Mapim dengan kerjasama syarikat Al Araby Sdn. Bhd turut menyumbangkan 300 pek makanan panas kepada penduduk yang terkesan dengan PKPD.

Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, dikenakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula 12 November lalu dan akan berakhir 25 November ini.

Seramai 800 penduduk di kawasan berkenaan terbabit dengan perlaksanaan penguatkuasaan perintah itu.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi berdasarkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara selepas mendapat nasihat pihak Kementerian Kesihatan.

“Terdapat 39 kes direkodkan sehingga 5 November lalu. Perintah ini akan melibatkan 88 unit rumah kedai dan 284 premis,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI