fbpx

Berlian merah jambu Rusia catat harga lelongan hampir RM110 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG model bergambar bersama permata merah jambu tersebut. – AFP

GENEVA, Switzerland – Sebutir berlian merah jambu yang jarang ditemui dan berasal daripada batu berlian mentah terbesar pernah dijumpai di Rusia, dijual pada harga AS$26.6 juta (RM109.9 juta) dalam satu majlis lelongan secara online oleh firma Sotheby’s di Geneva kelmarin.

Digelar The Spirit of the Rose , harga jualan akhir berlian sebe­rat 14.83 karat (2.9 gram) itu termasuk komisen, mencatat rekod dunia untuk berlian ungu-merah jambu.

Bidaan mencapai AS$22.9 juta (RM94.6 juta) tidak termasuk komisien dalam masa beberapa minit sahaja selepas permata sebesar sebiji guli itu dilelong.

Bagaimanapun, kata Sotheby’s, identiti pembeli permata tersebut tidak akan didedahkan.

Pelelong Sotheby’s, Benoit Repellin menganggap berlian itu sebagai keajaiban alam semula jadi.

Beliau berkata, harga berlian merah jambu semakin mahal kerana batu permata itu semakin sukar untuk diperoleh.

Spirit of the Rose dicanai  da­ripada batu berlian seberat 27.85 karat (5.5 gram) yang dijumpai pada tahun 2017 oleh firma perlombongan berlian, Alrosa di Republik Sakha, timur laut Siberia di Rusia.

 

GAMBAR dirakam pada 6 November lalu di Geneva, Switzerland menunjukkan berlian The Spirit of the Rose. – AFP

 

Masa selama satu tahun diperlukan untuk memotong dan me­ncanai  berlian itu tanpa warnanya menjadi pudar.
Berlian merah jambu adalah permata paling jarang dan paling diminati di pasaran global.

Rekod dunia untuk berlian merah jambu bermula pada 2017 apabila sebutir batu berlian dikenali sebagai CTF Star Pink dijual di Hong Kong pada harga AS$71.2 juta (RM294.2 juta).

Lima daripada 10 berlian termahal dunia yang pernah dijual adalah berwarna merah jambu, kata Sotheby’s, manakala semuanya dijual pada dekad yang lalu.

Pada bulan ini, lombong berlian merah jambu terbesar dunia, Argyle di Australia menghentikan pengeluarannya kerana kehabisan sumber.

Lombong itu menyumbang kepada lebih 90 peratus bekalan berlian merah jambu global. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI