fbpx

Wanita rugi RM143,000 jadi mangsa ‘Love Scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim.

PENAMPANG – Seorang wanita mengalami kerugian lebih RM143,000 selepas menjadi mangsa ‘Love Scam’.

Wanita berusia 50 tahun berkenaan mengaku perkenalan cinta itu mula terjalin menerusi laman sosial Facebook sejak beberapa bulan lalu dengan seorang pemilik akaun lelaki yang menggunakan nama ‘Eric Chan’.

Bagaimanapun, percintaan itu berakhir malang apabila wanita terbabit menyedari tertipu dan mengalami kerugian.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, siasatan mendapati mangsa ada membuat lima transaksi kewangan kepada beberapa akaun berbeza sebelum menyedari dirinya ditipu.

“Mangsa wanita ini diperdaya dengan tipu helah suspek yang menyatakan duit simpanan miliknya bernilai RM16.6 juta dibekukan dan memerlukan bantuan kewangan yang dipercayai untuk urusan pelepasan.

“Suspek meminta pertolongan mangsa supaya melakukan transaksi kewangan dan seterusnya berjanji akan memberikan ‘habuan’ kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Haris berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa awal pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu Mohd Haris menyatakan, statistik kes penipuan membabitkan ‘Love Scam’ di daerah Penampang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Oleh itu, kita menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali.

“Berdasarkan trend jenayah ‘Love Scam’ ini, modus operandi suspek menerusi perkenalan di media sosial dengan menggunakan kata-kata manis bagi mendapat kepercayaan mangsa sebelum meminta sejumlah wang untuk pelbagai alasan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI