KANGAR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi membongkar sindiket penyeludupan minyak diesel ke Thailand menggunakan bot barter trade di Jeti Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis dekat sini semalam.
Sindiket itu dipercayai menggunakan ruang kosong bot tersebut selepas melakukan penghantaran hasil laut ke Malaysia bagi mengangkut diesel ke negara jiran.
Bekalan diesel tersebut dipercayai untuk dipasarkan dalam kalangan pemilik bot nelayan sekitar Satun, Thailand.
Pegawai Pemerintahnya, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, pihaknya merampas 10 tong berisi 250 liter diesel yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan jeti berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Tong itu didapati diletakkan di tepi tong-tong ikan dan hasil pemantauan dilakukan mendapati tiada individu tampil mengambil diesel yang dianggarkan bernilai RM500,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, harga diesel di Thailand yang jauh lebih mahal iaitu sekitar dua hingga tiga kali ganda dari negara ini menyebabkan berlakunya kegiatan penyeludupan.
“Sindiket dipercayai melakukan kegiatan itu berulang kali dalam sehari, bergantung kepada jumlah bot yang masuk untuk menghantar bekalan ikan.
“Tindakan sindiket yang menggunakan khidmat tonto dipercayai menyebabkan kegiatan mereka sukar dikesan,” ujarnya.
Tambahnya, sindiket dipercayai menggunakan ejen yang bertindak mengutip bekalan diesel dari stesen minyak di sekitar Kuala Perlis untuk dikumpulkan kepada mereka setiap hari.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – K! ONLINE














