fbpx

9 wanita dikompaun kerana yoga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sembilan wanita termasuk seorang warga Eropah dikompaun RM1,000 setiap seorang selepas didapati menganjur dan menyertai kelas yoga tanpa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin@Hilmi berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam kira-kira pukul 8.15 pagi berhubung penganjuran kelas yoga tersebut sebelum melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.

“Siasatan mendapati premis tersebut adalah milik persendirian yang dijadikan pusat latihan yoga yang tidak mematuhi syarat-syarat PKPB malah pihak penganjur turut cuba mempertikaikan tindakan anggota polis melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan di dalam rumah tersebut kemudiannya mendapati lapan wanita tempatan termasuk penganjur serta seorang wanita warga Eropah berusia 40 hingga 60 tahun sedang mengikuti aktiviti yoga tanpa penjarakan sosial,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zairulnizam, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sri Hartamas untuk tindakan kompaun RM1,000 setiap seorang atas kesalahan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Penjaga premis atau penganjur iaitu seorang wanita tempatan berusia 37 tahun turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menggalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh membawa hukuman penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

“Saya ingin menegaskan kepada pemilik premis untuk mematuhi prosedur operasi standard(SOP) PKPB kerana tindakan kompaun akan dikenakan jika ia tidak dipatuhi,” tegas beliau.

Tambah beliau, sebarang maklumat kejadian jenayah boleh disalurkan ke pihak polis Brickfields di talian hotline 03 2297 9222. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI