SHAH ALAM – Sebanyak 599 kawasan yang terjejas bekalan airnya susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa (SSP) 1,2,3 dan Rantau Panjang dijangka pulih sepenuhnya pukul 3 petang esok.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyatannya memaklumkan, bekalan air telah berjaya diagihkan lebih awal pada pukul 1.45 petang tadi susulan proses penyaluran air bersih pada sistem agihan yang berjalan lancar.
“Pelan pemulihan kali ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama merangkumi 599 kawasan yang dijangka pukul sepenuhnya pukul 3 petang esok.
“Kumpulan kedua merangkumi 680 kawasan akan pulih pada 3 petang, Jumaat,” katanya.
Air Selangor menegaskan air yang dibekalkan kepada pengguna telah melalui ujian kualiti air dan pematuhan berdasarkan kepada standard Kementerian Kesihatan (KKM).
Ujarnya, ia juga telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Para pengguna disarankan mendapatkan maklumat sahih mengenai bekalan air menerusi saluran komunikasi rasmi termasuk aplikasi Air Selangor, twitter, facebook dan laman sesawang Air Selangor,” jelasnya. – K! ONLINE














