fbpx

Lelaki ditahan kerana halang tugas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang tidak mengendahkan arahan anggota polis agar berhenti merakamkan serbuan sedang dilakukan akhirnya memakan diri apabila dia akhirnya ditahan di sebuah rumah di sini pada 7 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika anggota serbuan sedang melakukan siasatan susulan laporan yang diterima berkaitan satu muat naik di Facebook Universiti Of Malaya Association of New Youth (UMANY).

“Muat naik bertajuk ‘YDPA Should Not Interfere in National Affairs’ (YDPA tidak perlu campur urusan negara) itu telah menerima sebanyak 41 laporan polis dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi melengkapkan siasatan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Petaling Jaya sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Huzir, sebelum memulakan penggeledahan, pegawai serbuan yang memakai vest polis telah menunjukkan kad kuasa kepada seorang lelaki yang berada di dalam rumah namun dia enggan memberikan kerjasama dan mengunci pintu dari dalam.

“Kemudian seorang wanita yang mendakwa sebagai peguam tiba ke lokasi bersama seorang lelaki yang terus membuat rakaman secara langsung melalui Facebook menggunakan telefon bimbitnya dan tidak mengendahkan amaran anggota serbuan agar berhenti merakam.

“Susulan itu, satu tangkapan telah dibuat terhadap lelaki berusia 23 tahun itu kerana mengganggu proses siasatan serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas termasuk merampas seunit telefon bimbit jenama iPhone berserta kad sim,” ujar beliau.

Huzir berkata, tangkapan dibuat kerana kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dalam menjalankan jawatannya dan tangkapan tersebut adalah berlandaskan undang-undang serta peruntukan sedia ada demi kepentingan siasatan.

“Perlu diingatkan bahawa setiap siasatan adalah sulit dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya, apatah lagi jika ditularkan di media sosial.

“Polis Diraja Malaysia menggesa orang ramai untuk sentiasa memberikan kerjasama serta tidak mengganggu pihak polis dalam menjalankan siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang sengaja menggugat keselamatan serta ketenteraman awam,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI