fbpx
Alvin Goh

Alvin Goh fail permohonan dibebaskan dari reman POCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang direman selama 21 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan judi online, memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan serta-merta di Mahkamah Tinggi di sini.

Goh Leong Yeong, 32, atau lebih dikenali Alvin Goh selaku pemohon memfailkan permohonan itu melalui notis usul pada 3 November lalu menerusi Tetuan T.Y Teh & Partners dengan menamakan pegawai penyiasat Asisten Superitendan Khairul Fairoz Rodzuan, Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonan itu, Leong Yeong memohon perintah bahawa penangkapan dan penahanannya pada 27 Oktober lalu di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan di bawah Seksyen 4(1)(a) POCA pada 31 Oktpber adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat mala fide (berniat jahat).

Selain itu, lelaki itu juga memohon bahawa perintah tahanan reman bertarikh 31 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang membenarkan penahanannya selama 21 hari bermula 31 Oktober sehingga 21 November di bawah POCA adalah tidak sah.

Turut dimohon perintah bahawa kemasukan perenggan 5, Bahagian 1, Jadual 1 di bawah POCA, bahawa semua orang yang terlibat dalam pengelolaan dan penggalakkan judi haram sebagai kategori yang boleh didaftarkan, adalah ultra vires dan di luar ruang lingkup atau skop akta berkenaan.

Pada masa sama, beliau juga memohon perintah bahawa writ habeas corpus dikeluarkan bagi pemohon dibawa dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibebaskan dengan serta-merta selain memohon perintah supaya pemohon tidak boleh ditangkap atau ditahan semula.

Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini, mahkamah menetapkan 16 November untuk mendengar permohonan tersebut.

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili pemohon memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memohon tarikh pendengaran ditetapkan.

“Anak guam saya memfailkan permohonan habeas corpus berhubung penahanannya yang tidak sah. Untuk makluman mahkamah, peguam utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak dapat hadir pada hari ini. Pihak kami juga telah menyerahkan afidavit (bagi menyokong permohonan) kepada responden minggu lepas,” katanya.

Dalam pada itu Peguam Persekutuan Adilah Roslan, yang mewakili keempat-empat responden berkata, pihaknya perlu memfailkan balasan terhadap afidavit berkenaan dan mahkamah memerintahkan kesemua responden memfailkan balasan terhadap afidavit pada atau sebelum 16 November.

Kosmo! Online pada 28 Oktober lalu, melaporkan selepas hidup sebagai pelarian selama 15 hari, Alvin Goh yang dicari bagi membantu siasatan kes Macau Scam dan judi online berjaya diberkas ketika bersembunyi di sebuah apartmen di Genting Highlands, Pahang. Apartmen itu terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu kota.

Lelaki berusia 32 tahun yang menjadi buruan polis sejak berjaya meloloskan diri selepas memanjat pagar belakang ba­ngunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 11 Oktober lalu ditahan pada pukul 1.30 pagi oleh sepasukan polis.

Polis turut menahan seorang wanita warga China disyaki kekasih Alvin. – K! ONLINE

POPULAR