fbpx

LRA Linggi masih belum beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEREMBAN – Kerja-kerja menambak tebing Sungai Linggi oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih lagi belum berjaya dilaksanakan sehubungan itu Loji Rawatan Air (LRA) Linggi masih lagi belum boleh beroperasi seperti biasa.

Ketua Perhubungan Awam, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Norzita Ismail berkata, sejak semalam, Sains masih menunggu aliran air sungai memasuki muka sauk untuk operasi loji dapat dijalankan

“Sekiranya paras muka sauk telah memenuhi paras ditetapkan, loji akan mula beroperasi dan dalam tempoh 48 jam bekalan air akan beransur pulih.

“Bagaimanapun, tempoh pemulihan bergantung kepada sistem retikulasi yang mana kawasan tinggi akan mengambil masa berbanding kawasan rendah” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sains memaklumkan selagi kerja-kerja baik pulih tebing sungai belum diselesaikan oleh pihak JPS, LRA Linggi tidak boleh beroperasi membekalkan bekalan air terawat kepada semua kawasan terlibat dalam gangguan air seperti Port Dickson dan Rantau.

Sebanyak 45,067 akaun pengguna Sains sebelum ini terjejas ekoran gangguan bekalan air melibatkan sebahagian kawasan Port Dickson dan Seremban berikutan gangguan terhadap operasi LRA Linggi.

Ia berikutan runtuhan tebing Sungai Linggi yang mengakibatkan gangguan kepada operasi LRA Sungai Linggi.

Runtuhan tebing sungai tersebut dipercayai disebabkan oleh kejadian hujan lebat yang melanda beberapa kawasan lewat malam 3 November lalu.

Sementara itu, menurut Norzita, Sains sekali lagi mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna di seluruh kawasan terlibat untuk terus bersabar dan memahami situasi yang sedang berlaku.

“Sains akan terus memberikan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas sehingga keadaan pulih,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI