fbpx

PKPB: Jangan panik, bekalan makanan mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan bekalan makanan dan barangan keperluan mencukupi sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 Daerah Barat Daya yang berkuat kuasa hari ini sehingga 19 November.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pemantauan bekalan makanan dan barangan keperluan telah dilaksanakan di kawasan terlibat seperti di Bayan Baru, Sungai Ara, Batu Maung, Desa Ria dan Zon Perindustrian Bebs Fasa 3 serta 4 mulai pagi ini.

Menurutnya, pemeriksaan secara harian melibatkan premis-premis perniagaan termasuk kedai runcit dan pasar raya besar di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada kekurangan bekalan mahupun kenaikan harga mendadak daripada peniaga.

“Hasil pemantauan yang dilakukan mendapati bekalan makanan adalah mencukupi sepanjang tempoh PKPB selain tiada berlaku sebarang pembelian panik.

“Keadaan terkawal dan masyarakat sudah matang berdepan situasi yang berlaku ketika ini.

“Kita ingatkan kepada peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan dan kami akan menjalankan pemantauan dengan lebih kerap,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi pemantauan bekalan di kawasan PKPB di sebuah pasar Raya besar di Bayan Baru di sini sebentar tadi.

Beliau memberitahu, berdasarkan rekod semasa, sebanyak 37,902 pemeriksaan telah dilaksanakan membabitkan lima daerah di negeri ini sejak 1 Januari sehingga 30 Oktober lalu.

Selain itu katanya, pihak KPDNHEP juga giat memantau bekalan topeng muka dan cecair pembersih tangan yang dipasarkan di negeri ini.

“Sehingga semalam, sebanyak 3,384 pemeriksaan telah dilaksanakan ke atas premis yang menjual topeng muka dan 2,491 premis menjual cecair pembersih tangan.

“Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat peniaga melakukan kesalahan menaikkan harga barangan atau cuba menyorokkan barang kawalan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI