fbpx

Mesyuarat PBT secara langsung mulai 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan mesyuarat Ahli Majlis secara langsung bagi mendedahkan kepada rakyat peranan yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mulai Mac tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, buat permulaan, pelaksanaan itu akan bermula dengan PBT bertaraf bandaraya di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Katanya, pendekatan itu akan memudahkan rakyat mengetahui dengan lebih lanjut peranan PBT dan isu-isu serta penyelesaian yang dibentangkan pada mesyuarat Ahli Majlis.

“Konsep kita adalah sama seperti Dewan Rakyat dan Negara di mana apa jua keputusan, perbincangan dan peruntukan kewangan dibelanjakan pada mesyuarat tersebut akan disaksikan secara langsung.

“Rakyat akan lebih tertarik untuk lebih memahami perjalanan PBT dan secara tidak langsung akan meningkatkan taraf pengurusan serta penguatkuasaan PBT itu sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Bintang Penyampaian Perkhidmatan PBT 2020 semalam.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Beliau berkata, pelaksaan itu akan bermula selewat-lewatnya Mac tahun depan dan memberi peluang kepada PBT untuk mereka menawarkan diri mengadakan mesyuarat Ahli Majlis secara langsung.

“Kita ada 17 PBT yang kini berstatus Majlis Bandaraya dan akan mulakan dengan mereka dan saya harap mereka tawarkan diri.

“Hanya sebulan sekali tidak macam Dewan Rakyat dan Negara yang mengambil masa hampir sebulan.

“Hujung tahun ini kita sediakan keperluan, insya-Allah. Kena dapatkan persetujuan daripada PBT untuk mereka melaksanakannya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI