PETALING JAYA – Polis mengesahkan seorang individu yang didakwa mencuri kereta setelah satu video berdurasi 1 minit 32 saat tular baru-baru ini merupakan seorang pegawai kanan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan perkara tersebut.
“Hasil daripada siasatan mendapati lelaki itu merupakan seorang pegawai kanan polis berusia 39 tahun dan mempunyai masalah tekanan perasaan.
“Pihak polis telah menahan individu terbabit dan telah diberi jamin polis. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Nik Ezanee, satu laporan polis telah dibuat oleh rakan mangsa.
“Individu-individu yang memukul mangsa telah ditahan pada 2 November lalu.
“Kedua-dua lelaki terbabit merupakan warga tempatan berusia 33 dan 36 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah beliau, Polis masih mencari seorang lagi rakan suspek yang bertanggungjawab merakam dan mentularkan video tersebut.
Baru-baru ini satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki terbaring dengan tangan dan kaki diikat selepas didakwa mencuri sebuah kereta. – K! ONLINE
















