fbpx

Bekas pengurus dibuang kerja rempuh langgar kilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di dalam kilang barangan teknologi selepas dirempuh bekas pengurus dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Chemor semalam. Foto: Ihsan Bomba

IPOH – Seorang lelaki yang dibuang kerja bertindak di luar jangkaan apabila dia yang memandu kereta jenis Honda Civic merempuh kilang dan mahu membakar premis itu sebelum membunuh diri dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Chemor di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.42 petang itu, bekas pengurus kilang berusia 52 tahun terbabit melakukan khianat dengan memandu keretanya merempuh kilang sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM1 juta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak memandu kereta merempuh bahagian fasa 1 kilang yang terletak kira-kira 500 meter dari pintu utama.

“Suspek pada awalnya merempuh masuk ke dalam kawasan kilang dan berhenti seketika untuk membaling botol petrol ke dalam pejabat sumber manusia.

“Seterusnya dia kembali memandu dan merempuh bilik Production Labelling Department sehingga menyebabkan kebakaran namun api berjaya dipadamkan pengawal keselamatan bertugas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kejadian di kilang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kehilangan nyawa pekerja kilang barangan teknologi tersebut.

“Suspek tidak membawa senjata dalam kejadian tersebut dan dia melarikan diri dengan berjalan kaki melalui pintu utama selepas meninggalkan keretanya di dalam kilang berkenaan.

“Pihak bomba turut dipanggil dalam kejadian itu bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya. Kerugian yang dialami kilang dianggarkan RM1 juta,” katanya.

Menurut A. Asmadi, pihaknya kemudian menerima satu laporan kemalangan maut melibatkan suspek pada pukul 7.45 malam di Jalan Kuala Kangsar berhampiran kawasan Perindustrian IBG Tasek.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki dilanggar sebuah treler ketika melarikan diri dari kilang berkenaan. Saksi awam pula menyatakan dia seolah-olah sengaja melintas jalan ketika treler tersebut hampir dengannya.

“Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan dan motif kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak berpuas hati kerana digantung kerja sejak September lalu atas masalah disiplin,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, lelaki tersebut sempat memuat naik video berdurasi lebih 14 minit menjelaskan berkaitan pemberhentian kerja oleh majikan terhadapnya dan ia tular di media sosial sejak semalam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI