MASIH segar dalam ingatan Baharum Daud, 50, akan suasana meriah saat menjamu selera bersama ahli keluarga ketika zaman kanak-kanaknya.
Arwah ibunya akan menghidangkan lauk-pauk di dalam pinggan mangkuk buatan China yang dihiasi pelbagai motif seperti bunga kangkung, kekwa hitam dan kekwa merah.
Pemergian arwah ibu sejak 14 tahun lalu diikuti arwah bapanya pada tahun 2018 membuatkan hatinya bertambah sayu.
Bagaimanapun, kerinduan Baharum bagaikan terubat apabila melihat koleksi pinggan mangkuk lama yang berjaya dikumpulnya dan disusun rapi di dalam almari khas.
Baharum merupakan salah seorang peminat pinggan mangkuk lama atau dikenali sebagai PML dalam kalangan komuniti hobi itu di negara ini.
Baharum telah gigih mengumpul pinggan mangkuk lama sejak 13 tahun lalu.

Menurut Baharum atau lebih dikenali sebagai Tuan Warikh Daud dalam komuniti PML, dia banyak mengumpul item antik itu yang kebanyakannya buatan China dan England.
“Umum mengetahui, pinggan mangkuk antik buatan China adalah yang paling baik dan berkualiti, maka barangan itu sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengumpulnya.
“Antara koleksi set pinggan mangkuk antik buatan China yang saya miliki adalah jenis bunga kangkung, bunga kekwa pelbagai warna, ros berkembar, teratai, wet rose dan bunga sabun,” katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan kepada K2.
Tambah Baharum, koleksi pinggan mangkuk buatan England yang dimilikinya pula ialah seperti Pyrex June Rose, Chelsea, Autumn Glory dan Spice of Life.
Kebanyakan koleksinya ialah pinggan mangkuk tahun 1970-an.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu mengumpul pinggan, mangkuk, teko, piring, cawan, sudu dan senduk untuk melengkapkan koleksi item antik tersebut.
Baharum berkata, item pertama yang dimilikinya ialah teko aladin bunga kangkung yang merupakan keluaran 1960-an.
Sehingga kini, Baharum berjaya mengumpul lebih 500 biji koleksi yang diperolehi di negara ini seperti Perak, Johor, Selangor selain Negeri Sembilan.
Dia turut pergi ke pasar-pasar karat selain mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan pengumpul barangan antik untuk mendapatkan koleksi pinggan mangkuk lama tersebut.

“Saya sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mendapatkan item tersebut dan sebagai contoh pernah membeli satu teko sahaja iaitu teko wet rose siku yang berharga RM2,000.
“Pinggan mangkuk yang dikumpul itu disimpan sebagai koleksi peribadi dan ada yang dijual,” tuturnya yang melaksanakan hobi itu sepenuh masa sejak bersara daripada kerjaya dalam sektor swasta setahun lalu.
Baharum menggunakan platform Facebook Tuan Warikh Daud dan Instagram lemari_tuan_warikh_11 untuk menjual pinggan mangkuk tersebut.
Dedahnya, pembelinya bukan sahaja dari dalam negara ini tetapi juga dari Indonesia dan Singapura.
Kongsinya, daripada koleksi simpanannya boleh dikatakan dia mempunyai lebih 100 item yang jarang ditemui dan tidak akan dijual.
Antaranya teko bunga kangkung jantung, teko bunga kangkung teratai, bekas sabun bunga kangkung, kekwa biru, kekwa hijau dan teko maharani.
Menurutnya, harga pinggan mangkuk lama boleh mencapai sekitar RM2,000 hingga RM3,000 setiap satu.
Mengulas mengenai cabaran sebagai pengumpul pinggan mangkuk antik, Baharum memberitahu, mereka berisiko tinggi untuk ditipu atau barangan yang diterima pecah sekiranya tidak dibungkus dengan baik.
“Sekiranya bernasib baik, barangan yang pecah itu akan diganti oleh penjual tetapi jika sebaliknya pembeli akan berputih mata.
“Ada juga pihak yang sengaja menjual barangan rosak tetapi menggunakan gambar pinggan mangkuk dalam keadaan sempurna untuk memancing pembeli,” ulas anak bongsu daripada lapan beradik itu.
Sementara itu, seorang lagi pengumpul pinggan mangkuk lama, Ali Mazelan berkata, dia menyambung legasi kedua-dua ibu bapanya yang sangat meminati barangan antik itu.

“Arwah ayah saya suka memasak dan mengumpul pinggan mangkuk jenama Mikasa manakala ibu turut menyukai barangan kaca.
“Selepas pemergian ayah 16 tahun lalu, saya menjaga rapi pinggan mangkuknya itu dan sebahagiannya turut dibawa bersama ketika berpindah ke ibu negara lebih sedekad lalu,” katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.
Ali menjadi pengumpul pinggan mangkuk sejak lima tahun lalu dan kini memiliki lebih 300 set keluaran antara tahun 1960-an hingga 1980-an.
Pinggan mangkuk yang dikumpul adalah buatan England, Amerika Syarikat (AS), Australia, Perancis dan China.
Kongsinya, item paling lama yang ada dalam simpanannya ialah pinggan mangkuk bercorak ayam jenama Early American pada tahun 1962. Selain daripada itu, terdapat juga koleksi 1960-an dari AS bermotifkan udang kara.
Ali turut memiliki set tureen bunga padi yang dianggap sukar untuk ditemui hasil pemberian seorang sahabatnya.
Ali yang turut gemar memasak seperti arwah bapanya sangat gembira menghidangkan makanan menggunakan pinggan mangkuk antik koleksinya kepada para tetamu kerana hal itu memberinya kepuasan.
“Paling utama hobi mengumpul pinggan mangkuk lama ini mengubati kerinduan kepada arwah ayah dan ibu berusia 63 tahun yang kini berada di Kulim, Kedah,” tuturnya yang merupakan pentadbir Facebook Peminat Pinggan Mangkuk Lama (PPML).
Terang anak keempat daripada 11 beradik itu, PPML yang diasaskan oleh Elmy Elly telah ditubuhkan sejak setahun lalu dan kini mempunyai lebih 14,000 pengikut.

PPML sering berkongsi maklumat mengenai pinggan mangkuk lama bagi memberi pengetahuan kepada orang ramai.
Menerusi pemerhatian Ali, dia mendapati pada masa ini pinggan mangkuk lama turut diminati oleh anak muda tidak kira lelaki atau wanita.
“Pasaran pinggan mangkuk lama ini sebenarnya sangat luas dan semakin rancak pada masa kini kerana turut menyumbang kepada pendapatan tambahan.
“Harga pinggan mangkuk ini boleh dikatakan tidak terlalu tinggi lantas memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk membelinya,” ulasnya. sambil memberitahu, harga paling tinggi barangan antik tersebut adalah di bawah RM3,000 bergantung jenis corak, kuantiti atau set lengkap.
Mengulas mengenai harga pinggan mangkuk antik yang dijual sehingga mencecah puluhan ribu ringgit, Ali berkata, itu tindakan manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kepada mereka yang ingin berjinak-jinak mengumpul pinggan mangkuk antik, Ali menyarankan agar mengenali barangan terlebih dahulu sama ada membuat rujukan dengan pengumpul berpengalaman atau menerusi pembacaan.
Tambah Ali, dia juga menyediakan beberapa senarai penjual yang boleh dipercayai pada Facebook PPML sebagai rujukan ahli.
“Adalah penting untuk mempunyai ilmu mengenai barangan tersebut supaya tidak tertipu dengan orang yang tidak bertanggungjawab.
“Harus diingat, terdapat pinggan mangkuk bunga kangkung yang telah dihasilkan semula dan kemungkinan besar itu membuka peluang kepada banyak sindiket penipuan,” ujar penjawat awam itu.

Terangnya, jika diperhalusi, terdapat perbezaan antara bunga kangkung baharu dan lama. Sebagai contoh, bunga kangkung lama berwarna lebih cantik, bersinar dan terdapat garisan emas di sekeliling porselin manakala material kacanya pula lebih baik dan berat serta 100 peratus buatan tangan.
Kongsinya, terdapat juga beberapa kedai atau bazar yang menjual pinggan mangkuk lama di sekitar Petaling Jaya, Shah Alam dan Bangi di Selangor.














