fbpx

Taburan hujan tinggi punca banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norazam (kanan) melihat petugas dari Rescue Bencana Malaysia menerbangkan dron bagi memantau perkembangan semasa keadaan banjir di sekitar Hulu Langat.

HULU LANGAT – Hujan lebat sejak awal pagi tadi menjadi penyumbang kepada kejadian banjir kilat yang menyaksikan beberapa kawasan di sini ditutup kepada semua kenderaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya telah menerima panggilan memaklumkan beberapa kawasan di sini dinaiki air kira-kira pukul 6 pagi selepas hujan lebat tanpa henti bermula pukul 1 pagi.

“Beberapa laluan masuk kini tidak boleh dilalui kerana telah dinaiki air dan orang ramai disaran untuk menggunakan laluan alternatif di Jalan Ampang-Hulu Langat serta di Jalan Sungai Tekali.

“Tindakan sedang dilakukan bagi mengeluarkan mereka yang terkandas dan sebanyak empat buah bot telah dihantar ke lokasi bagi menghulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Norazam, setakat ini seramai 24 orang mangsa yang terkandas telah diselamatkan dan operasi kini sedang dilakukan di Kampung Sungai Serai, Perumahan Nanding, Batu 16 dan kawasan sekitarnya.

“Air dari Sungai Langat telah melimpahi jalan-jalan di sekitar Jalan Batu 16 sehingga ke Pekan Batu 18 mengakibatkan jalan terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, Ampang, Pandan Indah, Puchong serta Shah Alam juga telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu mangsa,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI