fbpx
S. PIARAPAKARAN memaklumkan, kerancakan ekonomi di Lembah Klang adalah tinggi dan ini meningkatkan permintaan air terawat.

Margin simpanan air terawat Lembah Klang amat rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini, masalah gangguan bekalan air dilihat kembali menghantui penduduk di sekitar Lembah Klang.

Masalah ini bukan kali pertama berlaku dan telah berlarutan sejak sekian lama dan bagaikan tiada pengakhiran.

Pada bulan ini sahaja, beberapa kejadian gangguan bekalan air berlaku sehingga mengundang kemarahan masyarakat kerana mereka berhadapan dengan masalah sedemikian sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerana penularan pandemik Covid-19.

Dianggarkan bilangan akaun pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air adalah antara 4.5 juta hingga 5 juta.

Bagi membincangkan asbab gangguan bekalan air yang sering berlaku, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan mewawancara Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. PIARAPAKARAN baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh terangkan apakah punca atau faktor utama kepada permasalahan gangguan bekalan air yang berlaku terutamanya di Lembah Klang?
PIARAPAKARAN: Punca utama kepada berlakunya gangguan bekalan air adalah disebabkan Lembah Klang adalah kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Apabila sumber air terhad dan jauh dari kawasan permintaan, sebarang gangguan kepada sumber air atau sistem bekalan air terawat akan memberikan impak besar.

Lembah Klang kini juga berada pada situasi margin simpanan air terawat sangat rendah iaitu di bawah lima peratus dan situasi ini telah berterusan untuk satu dekad.

Dalam situasi margin simpanan air terawat rendah, sebarang kejadian seperti musim panas berpanjangan, pencemaran sumber air atau kegagalan sistem bekalan air seperti paip bocor atau pam rosak boleh menyebabkan gangguan serius dan tempoh pemulihan lebih lama.

Selain itu, kegagalan untuk menambahkan kapasiti boleh bekal ataupun disebabkan kelewatan dalam projek Langat 2, sebanyak 1,130 juta liter air sehari memang memberi impak besar setiap kali berlaku gangguan.

Di samping isu margin simpanan, kita dapati penguatkuasaan oleh agensi Persekutuan dan negeri masih kurang memuaskan.

Kenapa masalah gangguan air ini berlarutan terjadi sejak sekian lama? Adakah ia disebabkan kegagalan pihak bertanggungjawab untuk menguruskannya?
Dua perkara utama yang kita patut lihat dalam situasi ini. Pertama, kerancakan ekonomi di Lembah Klang adalah tinggi dan ini meningkatkan permintaan air terawat.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan margin simpanan air terawat adalah pada kadar 10 peratus hingga 20 peratus.

Margin simpanan air yang tinggi dapat membantu memulihkan sistem bekalan air dengan cepat selepas gangguan untuk memastikan aktiviti harian dan ekonomi tidak terjejas.

Jika berlaku gangguan, zon-zon bekalan air berdekatan dapat membantu mengurangkan impak kerana margin simpanan masih tinggi.

Pencemaran adalah isu kedua yang mana semua saliran dan perparitan akan disambung ke sungai.

Walaupun sesebuah kilang itu berada jauh daripada sungai, pencemaran masih boleh berlaku.

Terdapat juga kes pesalah menggunakan saluran kumbahan untuk membuang sisa mereka.

Pihak-pihak yang membuang sisa secara haram ingin mengurangkan kos merawat sisa yang mana keuntungan boleh dipertingkatkan.

Mereka biasanya melakukan aktiviti sebegini semasa musim hujan supaya sisa ini dialirkan dengan cepat, waktu lewat malam atau awal pagi
untuk mengelakkan orang ramai perasan dan kawasan yang kurang aktiviti manusia.

Dalam situasi begini, penguatkuasaan memainkan peranan penting untuk memastikan kita boleh membendung masalah pencemaran.

Apakah langkah yang perlu dilakukan pihak bertanggunjawab dalam menangani masalah ini?
Meningkatkan penguatkuasaan secara holistik dapat membantu kita mengawal dan menghentikan pembuangan sisa secara haram.
Ini melibatkan kedua-dua kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

Keduanya, kerajaan Persekutuan perlu siasat dan mengeluarkan laporan mengapa projek Langat 2 termasuk rangkaian perpaipan lewat sehingga 2023. Sepatutnya projek ini siap pada akhir 2019.

Apa yang kerajaan dapat lakukan sekarang adalah melihat kepada setiap pakej rangkaian paip dan mempercepatkan pakej yang kurang masalah logistik.

Setiap kontrak ada had masa projek, kelewatan lebih daripada satu tahun adalah sesuatu yang luar biasa dan pihak berkuasa perlu bertanggungjawab. Penambahan tenaga kerja dan jentera dapat mempertingkatkan kelajuan projek.

Boleh terangkan cadangan dikemukakan oleh AWER kepada Kabinet baru-baru ini bagi mengelakkan pencemaran dan krisis air?
Antara cadangan itu adalah pindaan segera terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA) dengan menambahkan seksyen baharu pada persidangan Parlimen akan datang untuk membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak-pihak terjejas.

Seksyen ini membolehkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pengiraan kehilangan pendapatan dan kos tambahan ditanggung pihak terlibat.

Kedua, dengan memperbaiki kaedah siasatan yang mana rantai bekalan pesalah boleh membawa kita kepada pesalah sebenar.

Kaedah penyiasatan JAS mesti diperbaiki agar insiden seperti pencemaran di Pasir Gudang tidak berlaku lagi yang mana pesalah sebenar tidak diketahui.

Selain itu, kami juga mengemukakan cadangan penyelesaian jangka panjang iaitu tarif air mentah berdasarkan kualiti air mentah.

Tarif air mentah berdasarkan kualiti air mentah harus dilaksanakan untuk memastikan kerajaan-kerajaan negeri menerima pendapatan setara semasa melindungi kawasan tadahan air bagi menjamin sumber air mentah mencukupi.

Penentuan tarif ini harus diketuai oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Selain itu, kami juga mengemukakan cadangan pangkalan data bahan kimia tertutup.

Insiden pencemaran meningkat mendadak. Penting bagi kerajaan membangunkan sistem pangkalan data yang sesuai untuk memantau pergerakan bahan kimia di Malaysia.

Semua bahan kimia berbahaya dan penghasilan sisa berbahaya selepas diproses mesti direkodkan dalam sistem pangkalan data. Ini akan membantu JAS untuk mencari pesalah jika berlaku pembuangan sisa secara haram.

 

GANGGUAN bekalan air yang sering berlaku di Lembah Klang sejak kebelakangan ini terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ekoran peningkatan kes Covid-19 menyebabkan rakyat kecewa dengan pihak berwajib.
– Gambar hiasan

 

Adakah pihak bertanggungjawab perlu mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas apabila berlaku gangguan bekalan air?
Dalam situasi semasa, tiada peruntukan undang-undang khas untuk mempercepatkan tuntutan kerugian daripada pengguna terjejas.
Malahan, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) tidak membenarkan sebarang tuntutan ganti rugi ke atas syarikat air jika situasi gangguan terjadual atau tidak terjadual di luar kawalan syarikat air.

Oleh sebab itu, kami telah cadangkan penambahan klausa pemboleh dalam EQA untuk membantu mempercepatkan tuntutan kerugian kepada semua kategori pengguna.

Untuk pengguna domestik, syarikat air boleh membuat tuntutan bagi pihak mereka. Bagi pengguna perniagaan, data pembayaran cukai boleh digunakan untuk mengira anggaran kerugian.

Apakah langkah segera perlu dilakukan syarikat air sekiranya berlaku masalah gangguan bekalan dalam memastikan pengguna tidak terkesan?
Langkah segera adalah untuk mempercepatkan pakej rangkaian paip bagi Langat 2 untuk kurangkan kebergantungan kepada loji-loji dari Sungai Selangor.
Pada masa sama, pengurangan air tidak terhasil (NRW) yang tertumpu patut dilaksanakan supaya zon-zon yang tinggi dapat dikurangkan.

Di samping itu, koordinasi dengan syarikat-syarikat air di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Johor boleh digunakan untuk meningkatkan lori-lori tangki bagi memudahkan lagi pergerakan lori air ke zon terjejas.

Pada pandangan AWER, adakah pencemaran dan masalah gangguan air akan terus berlaku pada masa hadapan?
Tahap gangguan air dapat dikurangkan selepas peningkatan margin simpanan air dalam beberapa tahun lagi sekiranya semua perancangan diikuti dengan betul.

Kalau kerajaan melaksanakan saranan-saranan kami, pencemaran sumber air dapat dikurangkan.

Dalam hal ini, dalam masa 15 hingga 20 tahun, kita dapat menambah lebih banyak sungai untuk menjadi sumber air termasuk Sungai Klang.

Dari segi kejuruteraan, reka bentuk sistem perawatan air dan bekalan air sepatutnya dapat menghadapi situasi terburuk dan meminimumkan impak kepada pengguna.

Barulah, industri perkhidmatan air kita boleh dikatakan matang dan berkaliber.

BERITA BERKAITAN