fbpx
Kawasan perumahan di Jalan Paip, Meru dinaiki air berikutan limpahan Sungai Binjai kelmarin. – SADDAM YUSOFF

‘Pagi cuci rumah, petang banjir semula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Penduduk di sekitar Meru tidak sanggup lagi menghadapi banjir kilat yang kerap berlaku setiap tahun sehingga menjejaskan kediaman mereka.

Malah, ramalan menyatakan fenomena banjir kilat berlarutan ke pertengahan Mei khususnya di pantai barat Semenanjung membuatkan mereka mahu tindakan segera dilakukan pihak berkuasa.

Menurut seorang penduduk, Iffa Asnita Abd. Hadi, 26, banjir kilat sememangnya telah tidak boleh dipisahkan sejak dia menetap di lokasi tersebut empat tahun lalu.

Katanya, parit yang kecil dan tidak dalam menyebabkan kira-kira 30 buah rumah di Lorong Haji Sahran, di sini, mudah digenangi air apabila hujan lebat.

“Ada kalanya apabila siap membasuh akibat banjir pada waktu pagi, namun petang kotor semula sebab rumah dimasuki air.

“Hari ini (semalam) pulang rumah pun sudah nampak dua tong gas ‘berenang’ di bahagian dapur. Takkan setiap kali hujan lebat, kami nak hadap banjir kilat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Kata suri rumah itu, lokasi perumahannya masih berdepan banjir termenung ketika ini, sehingga dia terpaksa tinggal di rumah saudara di Rantau Panjang, di sini.

Peniaga pakaian terpakai, Juhairi Mazlan, 37, berkata, dia kecewa apabila isu banjir kilat itu tidak dapat diatasi sehingga kini.

“Memang sedih sebab sejak 2018 tidak pernah selesai masalah ini. Tambahan, kedai saya berhadapan dengan parit bagi Sungai Binjai di Meru.

“Kali ini, anggaran kerugian saya hampir RM5,000 dengan terdapat beberapa guni baju tidak sempat dialihkan,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan, ribut petir dan hujan lebat dalam tempoh singkat yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung akan berlarutan ke perte­ngahan Mei sebelum Monsun Barat Daya bermula.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, sebelum ini negara mengalami Monsun Timur Laut di mana banyak hujan terutamanya di Pantai Timur.

Ujarnya, sebelum memasuki Monsun Barat Daya, negara sedang berada dalam fasa peralihan monsun di mana ciri-ciri utama keadaan cuaca ketika ini adalah terbentuknya awan ribut petir yang menyebabkan hujan lebat dan angin kencang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN