fbpx

Kedai ‘4 dalam 1’ diserbu MPK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrul Hazri (kanan) menunjukkan arak yang dirampas di sebuah kedai haram di Flat PKNS Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Bukan sahaja beroperasi tanpa lesen, malah sebuah kedai Flat PKNS Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini menjalankan perniagaan ‘4 dalam 1’ sejak awal tahun ini.

Perkara itu terbongkar hasil serbuan Majlis Perbandaran Klang pukul 5 petang yang mendapati rumah kediaman itu diubah suai menjadi kedai menjual barangan runcit, arak, restoran dan mencuci kenderaan dalam satu masa.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa MPK, Shahrul Hazri Abd. Majid berkata, serbuan itu dilakukan hasil aduan penduduk mengenai kewujudan aktiviti perniagaan di dalam kawasan rumat flat tersebut.

“Kita ingin menegaskan bahawa rumah kediaman tidak dibenarkan sama sekali dijadikan sebagai kedai.

“Namun, serbuan mendapati tiga premis di flat itu mengingkari syarat tersebut termasuk menjalankan banyak perniagaan di kedai haram mereka,” katanya ketika ditemui! di lokasi itu.

Ujarnya, pemeriksaan pihaknya mendapati dua rumah lain di flat empat tingkat itu masing-masing turut dijadikan restoran dan kedai runcit.

“Dalam operasi selama dua jam itu, kita menyita pelbagai peralatan dan barangan termasuk arak yang dianggarkan berjumlah RM20,000.

“Selain tindakan kompaun, tiga premis itu diarah tutup serta-merta mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK,” katanya.

Tegas Shahrul Hazri, MPK tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk warga tempatan yang melakukan kesalahan tersebut.

“Kita akan menjalankan operasi seumpama itu secara berterusan dan menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI