Seorang rakyat Malaysia terpaksa menjadi gelandangan di Singapura kerana tidak mampu menyewa rumah.

Tertekan sampai mahu bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh SHARKAWI LONDING dan MOHAMAD FAHD RAHMAT

JOHOR BAHRU – Seramai 40 daripada 178 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura cende­rung untuk membunuh diri selepas mengalami tekanan kerana terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi di negara itu dan berjauhan dengan keluarga.

Jumlah itu adalah hasil soal selidik yang dijalankan perun­ding kerjaya, Think Big Management and Enterprise terhadap 178 res­ponden yang meluahkan perasaan mereka.

Menurut Pengasas Think Big Management and Enterprise, Mohd. Najib Ab. Halim, rakyat Malaysia yang bekerja di Si­ngapura ketika ini tidak dibenarkan untuk berulang-alik ke negara ini setiap hari seperti sebelum ini.

Katanya, larangan itu dikuat kuasa selepas negara republik tersebut mengetatkan undang-undang bagi mengawal penula­ran pandemik Covid-19.

“Sebelum ini mereka boleh berulang-alik antara dua negara dan kehidupan mereka selesa kerana gaji lumayan. Kadar tukaran wang Dolar Singapura kepada Ringgit Malaysia adalah tiga kali ganda lebih besar.

“Bagaimanapun sekarang, mereka tertekan kerana terpaksa bekerja dan tinggal di Singapura dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Najib memberitahu, perpisahan dengan ahli keluarga terutama ibu bapa, isteri dan anak-anak juga menyebabkan responden yang ditemu bual pihaknya mengalami tekanan kerana tidak dapat berjumpa orang tersayang selama berbulan-bulan.

“Ada majikan di Singapura mengugut untuk menarik permit kerja responden jika mereka memohon Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) untuk pulang kerana mereka akan dikuarantin 14 hari.

“Segelintir majikan pula menghalang pekerja kita pulang meskipun cuti tanpa gaji atas alasan mereka tidak cukup pekerja,” katanya.

Beliau berkata, tekanan emosi juga semakin memuncak apabila mereka tidak mampu membayar komitmen hutang dengan institusi kewangan.

“Bagi responden yang sudah meninggalkan negara republik itu dan bekerja semula di Malaysia, komitmen hutang yang tinggi juga menyebabkan mereka tersepit.

“Faktor-faktor ini menyebabkan tekanan emosi yang mungkin mendorong kepada kejadian bunuh diri jika tiada tindakan segera diambil oleh kerajaan Malaysia dan Singapura,” ujarnya.

Mohd. Najib yang berpengalaman sebagai perunding kerjaya sejak 2011 berkata, keengganan majikan di Malaysia mengambil bekas pekerja dari Singapura untuk bekerja juga antara faktor mereka mengalami tekanan emosi.

“Sekarang, seramai 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dan daripada jumlah itu, 300,000 orang menetap di Si­ngapura.

“Bayangkan berapa ramai rakyat Malaysia di sana dan sebahagiannya berkemungkinan mempunyai kecen­derungan membunuh diri kerana tertekan atas pelbagai faktor,” katanya.

Kosmo! semalam melapor­kan, Kementerian Sumber Manusia menubuhkan satu Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi membangunkan pangkalan data yang komprehensif mengenai nasib kira-kira 500,000 pekerja Malaysia di Singapura.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan kumpulkan data tepat mengenai statistik pemberhentian kerja rakyat Malaysia di Singapura akibat penularan Covid-19.

Baru-baru ini, seorang lelaki rakyat Malaysia yang kerinduan selepas terpisah dengan isteri serta anaknya selama hampir lapan bulan hanya mampu melam­bai kepada mereka yang berada di Johor Bahru dari Woodlands Waterfront Park, Singapura.

Kejadian itu tular di media sosial dan menarik perhatian ramai.-K! ONLINE

l

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN